KARTUN NANYANG: JANGAN GUNA ILMU SINDIR ORANG LAIN, KATA ZAHID

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati semua pihak, termasuk golongan berilmu agar tidak menggunakan satira politik untuk tujuan yang salah.

Lebih-lebih lagi, katanya, sesetengah satira politik tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat berbilang kaum di negara.

“Maksudnya kalau kita seorang yang berilmu jangan guna ilmu hanya untuk sindir orang lain walau dalam bentuk satira.

“Guna intelektual untuk kongsi bersama bukan hina rendah dan perlekeh orang lain, Itu dipanggil intelektual egoisme,” katanya dalam sidang media di selepas menghadiri Forum Menteri Dasar Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini.

Zahid berkata demikian merujuk tindakan akhbar Nanyang Siang Pau yang menyiarkan karikatur kontroversi baru-baru ini.

Menurutnya, penggunaan satira politik dalam karikatur itu tidak sesuai dengan budaya di negara ini.

“Mungkin diizinkan dalam etika budaya lain tapi budaya Malaysia tak perlu adakan perkara sedemikian,” katanya,

 

Sementara itu, dalam ucapannya, Zahid berkata sekiranya karikatur itu dilukis dalam bentuk satira sinis, ini akan dianggap sebagai ilmu baru kepada golongan yang menerimanya.

“Saya tidak mahu apabila orang anggap kita sebagai golongan profesional, kita seronok apabila tengok orang itu susah. Kita merasa seronok apabila orang itu sedih,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar Cina itu menerbitkan kartun yang memaparkan memaparkan seekor monyet bersongkok yang dilabelkan sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban yang dinamakan sebagai “Hadi Awang” sedang bertenggek di pokok “Akta 355”.

 

Dalam karikatur itu, “Hadi Awang” yang dipercayai merujuk kepada presiden PAS ‘ digambarkan memegang sebatang tongkat sakti sambil menikmati “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian.”

Susulan itu, kira-kira 100 ahli dan penyokong PAS berhimpun di luar pekarangan pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya sambil menggesa Kementerian Dalam Negeri bertindak ke atas syarikat itu kerana mencetuskan ketegangan agama.

Kementerian Dalam Negeri pada 11 April lalu memberi surat tunjuk sebab kepada akhbar itu dan memberi mereka tiga hari untuk menjawap. Tindakan dikeluarkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

MKINI

.