KAMI PERLUKAN MUKA LAMA, KATA NURUL IZZAH

PAKATAN Harapan (PH) memerlukan muka lama dalam politik kerana pembangkang memerlukan usaha bersama untuk melawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menangkis kritikan barisan kepimpinan PH dipenuhi muka-muka lama, Nurul Izzah berkata PH memerlukan individu seperti Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menawan pengundi Melayu luar bandar akibat kurangnya kebebasan media dan institusi demokratik.

“Saya tidak berpura-pura, PH sedang menghadapi pilihan raya yang sukar, kita tidak ada Pakatan Rakyat lagi ,” katanya, merujuk kepada pakatan lama yang sebelum ini termasuk PAS.

“Ia pilihan raya untuk menang atau kalah. Kuasa tertumpu di tangan Perdana Menteri Najib Razak.
“Dengan realiti ini, adalah penting bagi kita untuk memahami perlunya kerjasama antara teras politik yang berbeza termasuk kehadiran seorang bekas perdana menteri, bekas timbalan perdana menteri, dan bekas menteri besar Kedah dan bekas naib presiden Umno,” katanya.

Nurul Izzah yang memainkan peranan penting dalam mengakhiri pertelingkahan dalaman selama beberapa bulan dalam gabungan pembangkang berkaitan barisan kepimpinan berkata, tugasnya sebagai aktivis politik adalah untuk mengambil kira sentimen di seluruh negara dan mencari penyelesaian terbaik.

“Jika kita hanya mengambil kira sentimen bandar, ia adalah perkara yang berbeza tetapi kita mesti mengambil kira semua sentimen, termasuk di kawasan luar bandar – yang menindas orang Melayu dan Felda.

“Selagi janji-janji berasaskan pembaharuan sedang direalisasikan dan kami memberi ruang yang cukup untuk penglibatan.

“Itu akan menjadi prinsip panduan kami … kami mempunyai ikrar yang mengutamakan agenda rakyat,” katanya kepada pemberita di forum wanita di Seberang Jaya hari ini.

Penganalisis politik dan pemerhati serta pengkritik dari BN mengkritik barisan kepimpinan PH yang lama ditunggu-tunggu yang diumumkan awal pagi Jumaat, mengatakan gabungan parti pembangkang masih bergantung pada muka-muka lama.

Ada yang mengatakan PH sepatutnya menawarkan muka baharu sementara yang lain mengatakan PH seolah-olah tidak mempunyai pemimpin yang baik daripada barisan kedua.

Pengerusi Bersatu dan bekas perdana menteri Dr Mahathir adalah pengerusi PH manakala Anwar Ibrahim sebagai ketua umum. Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Presiden PH.

Tiga timbalan presiden itu ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dinamakan naib presiden PH.

– https://www.themalaysianinsight.com

.