‘KAMI MALU BUDIN OOIII!’

“Mahukan kamu terima seorang perogol jadi menantu?” tanya sekumpulan penyokong Pakatan Harapan ketika mereka berkumpul membantah kenyataan Datuk Shabudin Yahaya, hari ini.

Ketika mengadakan bantahan di Tasek Gelugor, mereka membawa pelbagai sepanduk dan menjerit: “Kami malu Budin oooiii!!!”

Turut dilaungkan ialah “Bawah umur 16 maknanya statutory rape“, “Undur Shabudin” dan “Pecat Shabudin”.

Mereka turut menuntut supaya maruah wanita dilindungi serta dipelihara, selain menegaskan bahawa rogol adalah jenayah.

Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 100 orang penyokong DAP, PKR dan Parti Amanah Negara dengan kebanyakannya adalah wanita.

Semasa berucap, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Lim Siew Khim, berkata perhimpunan itu diadakan untuk menyatakan kepada dunia bahawa mereka menolak sama sekali cadangan Shabudin untuk menangani masalah rogol.

“Bolehkah seorang perogol menjadi suami anda? Adakah anda bersetuju seorang perogol jadi menantu?” tanya ADUN DAP itu kepada orang ramai yang kemudian menjawab: “Tidak!”

“Ya, perogol itu mesti dihukum. Bukan saja wanita menentang kenyataan Shabudin, malah lelaki pun marah. Kita tak mahu MP macam Shabudin,” katanya.

Sementara itu Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, berkata sebagai anggota parllimen Shabudin sepatutnya memperjuangkan hukuman lebih berat ke atas perogol.

“Dia tidak sepatutnya dilihat mempromosi atau menggalakkan rogol,” katanya.

Ketua Pemuda PKR, Asrol Sani Abdul Razak, pula berkata mereka berkumpul hari ini untuk menuntut supaya Shabudin dipecat daripada Umno.

“Kita berkumpul di sini bukan sebagai ahli parti politik, tetapi sebagai rakyat yang mahu Shabudin dipecat,” katanya.

MKINI

.