KAMI LAPOR DAKWAAN TAK DISAHKAN ANWAR KORUP, KATA WARTAWAN TV3

WARTAWAN TV3 yang terbabit dalam saman fitnah oleh Anwar Ibrahim, memberitahu mahkamah hari ini, bukan tugasnya untuk mengesahkan maklumat sebelum menyiarkan berita di Buletin Utama tentang tuduhan rasuah.

Selwam Arjunan, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dia tidak mengesahkan kesahihan kenyataan yang dibuat oleh bekas calon BN Permatang Pauh Maslan Ismail, yang mendakwa Anwar dan mendiang Karpal Singh merasuah hakim dan pendakwa raya.

“Adakah kamu sengaja memilih untuk menyiarkan maklumat yang kamu tahu ia tidak disahkan?” soal peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo, yang kemudiannya dijawab oleh Selwam, “Ya”.

Bekas timbalan perdana menteri turut memberi keterangan hari ini pada pendengaran yang dipengerusikan Hakim Faizah Jalamudin. Turut hadir, Mazlan yang duduk di galeri awam bersama penyokong PKR.

Anwar memfailkan saman terhadap Mazlan yang didakwa dalam satu sidang media pada pagi 2 Ogos, 2013 bahawa Anwar membayar sebanyak RM50 juta kepada Karpal sejak 2008 untuk merasuah hakim dan pendakwa raya.

Mazlan, yang kini merupakan ketua pegawai operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memberitahu sidang media dakwaan yang dibuat itu adalah berdasarkan 6,000 salinan surat layang yang diperolehnya.

Laporan Buletin Utama disiarkan pada hari yang sama Mazlan mengeluarkan kenyataan itu. TV3 (Sistem Televisyen Malaysia Bhd) dinamakan sebagai defendan kedua kerana menyiarkan kenyataan Mazlan. Anwar turut memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia kerana menyiarkan kata-kata fitnah pada 16 Oktober, 2015.

Selwam, yang merupakan koresponden wilayah utara stesen televisyen itu, berulang kali menekankan mengenai isu mengesahkan maklumat oleh Sangeet semasa pemeriksaan silang hari ini.

“Bukan tugas saya untuk tentukan kebenaran,” katanya pada satu ketika.

Selwam dalam kenyataan bertulisnya juga berkata, “Melihatkan kepada nada, gaya dan cara keseluruhan laporan, saya tidak merasakan perlunya mendapatkan sebarang pengesahan atau komen daripada plaintif (Mazlan) atau mana-mana pihak lain pada masa laporan itu disiarkan.”

Dalam laporan TV3, yang ditayangkan semula di mahkamah hari ini, Mazlan dilihat mengadakan sidang media, bersama beg yang penuh dengan surat. Berita itu turut memaparkan sebahagian daripada surat terbabit.

Dalam justifikasi menyiarkan berita tanpa pengesahan, dia berkata bilik berita mempunyai kitaran berita harian dan wartawan perlu capai “deadline” sebelum tamat kitaran berita.

Ketika ditanya mengapa dia tidak merasakan ia penting untuk mendapatkan kebenaran maklumat yang diterbitkan di TV3, Selwam menjawab, “Kami tidak tentukan kebenaran.”

Ditanya sama ada dia bersetuju TV3 menyiarkan berita tanpa mengesahkan kebenaran, Selwam menjawab “Tidak” dan kemudian menambah, “Ia bergantung dan dalam kes ini tidak.”

Sangget bertanya, “Adakah kamu setuju dengan saya sebagai wartawan TV3, bukan tugas kamu untuk mengesahkan maklumat, namun mereka akan siarkan juga?” yang dijawab oleh Selwam, “Ya”.

Selwam meneruskan keterangan bahawa dia tidak bertanya soalan pada sidang media berkenaan, yang dihadiri oleh empat hingga lima orang wartawan dan dia tidak membuat semakan lanjut atau panggilan telefon mengenai surat layang. Tambahnya, dia juga tidak menyimpan salinan surat layang Mazlan.

“(Perlu untuk siarkan berita itu) kerana ia adalah sidang media yang dibuat oleh Datuk Mazlan untuk memaklumkan mengenai surat yang diterimanya. Bukan saya yang cipta isu, ia adalah defendan pertama. Dan sebagai wartawan penyiaran, kami perlu siarkan pada hari yang sama,” menurut keterangan Selwam.

Terdahulu, Selwam sedia maklum Buletin Utama, yang merupakan program berita waktu puncak selama satu jam bersiaran pada jam 8 malam setiap hari, mencapai antara 2.5 juta hingga 3 juta penonton. Ditanya sama ada dia tahu TV3 dimiliki oleh Media Prima, yang pada dasarnya dikawal Umno, Selwam menjawab dia tidak pasti.

Ketika ditanya oleh peguam Media Prima TH Liew mengenai tugasnya, Selwam menjawab, “Bukan tugas saya untuk menentukan kebenaran. Tugas saya adalah menyampaikan kandungan sidang akhbar.”

Ditanya mengenai kedudukannya dalam perkara itu, Selwam menjawab bahawa dia bertugas untuk berkongsi maklumat dengan penonton kerana ia adalah “kepentingan awam”.

Sangeet merupakan anak perempuan kepada mendiang Karpal, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April, 2014. Karpal merupakan pemimpin veteran DAP, adalah peguam Anwar dalam perbicaraan Liwat II.

Sementara itu, Anwar berkata Mazlan adalah berniat jahat dalam mempublikasikan surat-surat layang yang tidak ditandatangani, dan yang mana tiada laporan polis dibuat mengenainya.

“Terdapat asas dalam tuduhan yang mencadangkan seseorang individu perlu menjelaskan atau menerangkan (kesahihan maklumat) melainkan kamu memilih untuk abaikan surat layang itu.

“Bila diminta berikan penjelasan (berhhubung surat layang kepada pemberita), dan mengangkat surat itu, ia jelas bahawa beliau mengakui kenyataan itu benar.

“Dalam dunia politik, terdapat beribu surat layang, rakyat tidak meminta penjelasan bagi setiap surat itu. Tiada laporan polis dibuat dan tiada pengesahan,” kata Anwar.

Anwar berkata, terdapat “ruang” untuk Mazlan mendapatkan maklumat sebelum membuat kenyataan umum.

“Saya mengenalinya (secara peribadi). Beliau tahu mana dia tinggal dan saya tahu mana dia tinggal. (Sidang media) itu hanyalah fitnah,” kata Anwar.

Tambah Anwar, suntingan tajuk TV3 dan berita menunjukkan niat untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa Anwar dan Karpal terlibat dalam rasuah.”

“Gaya pemberitaan tidak memberi gambaran penuh atau sumber surat layang itu, tetapi mengetengahkan perkara itu, yang mana, betapa negatif dan jahatnya Anwar dan Karpal.”

“Mereka sepatutnya melaporkan dengan adil dan bertanggungjawab. Keadilan bermakna memberi ruang kepada tertuduh untuk mempertahankan diri mereka. Keadilan ialah tidak menyebarkan penipuan dan fitnah. Ini adalah bukan keadilan. Etika kewartawanan adalah jelas,” kata Anwar.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.