KALAU TIADA MENDESAK KENAPA HISHAMMUDDIN DILANTIK?

SHAH ALAM – “Kalau tidak ada sesuatu yang ‘mendesak’ masakan (Datuk Seri) Hishammuddin Tun Hussein dilantik Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri,” demikian respons tokoh wartawan, Datuk Seri A Kadir Jasin berhubung lantikan Menteri Pertahanan itu, ke jawatan berkenaan berkuat-kuasa semalam.

Katanya lagi, pelantikan Hishammuddin itu turut membawa banyak persoalan baharu, antaranya apa peranan beliau dalam jawatan tersebut.

“Apakah tugas-tugas lain yang akan Hishammuddin jalankan yang belum dilaksanakan oleh menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri? Mengapakah  Najib memerlukan sepupunya menjalankan “tugas-tugas khas” di JPM sedangkan beliau sudah pun mempunyai timbalan iaitu (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi?

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid tentulah lebih daripada layak dan mampu untuk membantu PM dalam apa-apa jua tugas – khas atau umum,” katanya yang dipetik menerusi blognya.

Menyimpulkan perkara ini, A Kadir berkata berkemungkinan pemberian tugas tambahan di JPM kepada Hishammuddin boleh juga dilihat sebagai isyarat bahawa Najib mempunyai “reservation” (syak wasangka) terhadap kesetiaan dan komitmen Ahmad Zahid.

“Kalau kita dalami kenyataan dan pendirian Ahmad Zahid sejak beberapa waktu kebelakangan ini, kita akan dapati yang beliau cuba memberi gambaran bahawa manakala beliau setia kepada Mohd Najib, beliau tidaklah membuta-tuli mengikut telunjuk bosnya,” katanya.

Oleh itu ujarnya, langkah Najib membawa Hishamuddin JPM tidak syak lagi akan mengukuhkan kedudukan sepupunya itu dalam hierarki Umno dan kerajaan.

“Serentak itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai bakal pengganti (heir apparent) menjadi kabur sedikit walaupun beliau nyata lebih berpengaruh daripada Hishammuddin dalam parti,” katanya.

Katanya, perkembangan terbaru ini juga pastinya akan menghangat dan merancakkan perang saraf di antara kem Ahmad Zahid dan kem Hishammuddin yang sudah berlangsung sekian lam.

– SH