‘KALAU PAS MAHU SOKONG NAJIB, BIARLAH…’

DAP terpaksa akur keputusan Pas sekiranya parti itu tetap meletakkan calonnya untuk mewujudkan pertandingan tiga penjuru dalam PRU akan datang.

Pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan masih berbincang mengenai strategi untuk memastikan kedudukan ‘satu lawan satu’ dengan BN, namun sekiranya Pas mahu bertanding, DAP tidak mampu melakukan apa-apa.

“Kalau mereka (Pas) mahu sokong Najib, biarkanlah mereka,” kata Kit Siang dengan ringkas ketika ditemu bual oleh Sin Chew Jit Poh.

Menurut Kit Siang, Pakatan Harapan bukan sahaja mahu merampas Putrajaya, tetapi juga ingin menjadi kerajaan di negeri Johor.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor ketika ini sedang berbincang bagaimana mewujudkan satu pasukan yang mantap bagi membolehkan Pakatan Harapan menjadi kerajaan baharu di negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, Pas akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi menetapkan lokasi himpunan RUU 355 secara muktamad dalam masa terdekat.

Menurut Timbalan Presiden Pas merangkap Pengerusi Perhimpunan RUU 355, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, partinya masih menunggu jawapan balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sama ada dibenarkan berlangsung di Dataran Merdeka ataupun tidak.

“Kami jangka akan dapat jawapan sebelum 8 Februari ini. Kami harap dapat bincang dengan pihak polis bagi memastikan perhimpunan ini berlangsung dalam keadaan aman dan lancar,” kata Tuan Ibrahim seperti dilaporkan oleh China Press.

Ditanya mengenai cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar Pas mengadakan perhimpunan tersebut di Stadium Titiwangsa, kata Tuan Ibrahim, sekiranya dibenarkan DBKL, Pas tetap mengharapkan ia tidak diadakan di Stadium Titiwangsa, tetapi di Dataran Merdeka.

– Sinar Harian

.