KALAU DI TANGAN SUDAH ADA BUKTI, KENAPA MASIH MEMILIH SELESAI LUAR MAHKAMAH?

Selesai tapi tak selesai – barangkali itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan kemelut terbaru berkaitan 1MDB sekarang ini.
Di sebalik 1MDB berjaya dan berbangga dapat menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah dengan IPIC berhubung bayaran bagi terbitan bon  yang dituntut oleh syarikat daripada Abu Dhabi itu, rentetan daripadanya nampak lebih membingungkan.
Bukan saja penyelesaian luar mahkamah itu dilihat sebagai bukti pengakuan daripada 1MDB bahawa pembayaran AS$3.5 bilion sebelum ini memang diselewengkan daripada Aabar PJS kepada Aabar BVI, pertanyaan juga bertalu-talu berkaitan ke mana perginya wang yang telah dibayar itu.
Persetujuan luar mahkamah jelas memperlihatkan 1MDB akan membayar dua kali kepada IPIC dan seperti ingin melupakan begitu saja wang yang telah dibayar kepada syarikat klon, Aabar BVI sebelum ini.
Bukan saja pemimpin-pemimpin pembangkang yang riuh menuntut penjelasan berkaitan perkara itu, malah wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir turut menuntut penjelasan yang sama.
Kita setuju dengan penyelesaian yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu, tetapi  kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang yang sudah dibayar sebelum ini, demikian permintaan Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Kedah.
Dalam pada itu, di ketika ramai masih bingung memikirkan kenapa penyelesaian luar mahkamah menjadi pilihan sedangkan Najib Razak pernah mengatakan kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil alih bon tersebut serta Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan Kedua pula melahirkan keyakinan 1MDB boleh menang dalam prosiding timbangtara dengan IPIC, apa yang terus didedahkan oleh Johari lebih memeningkan lagi.
Johari memberitahu, sebenarnya terdapat sepucuk surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat milik IPIC, namun beliau tidak menyebut ia daripada siapa.
Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum perjanjian penyelesaian,  mereka juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Ia kemudian disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti yang dimiliki itu jugalah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian meneruskan menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa.

Melihat kepada penjelasan Johari mengenai bukti tersebut, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa penyelesaian luar mahkamah masih menjadi pilihan?

Jika bukti sudah cukup kuat dalam tangan, kenapa masih  tidak berani terus berjuang ke arah kemenangan, sebaliknya memilih untuk menyelesaikannya di luar mahkamah?

Tidakkah, jika menang, tiada apa-apa pembayaran perlu dibuat oleh 1MDB kepada 1PIC?

Siapa yang berkehendakan penyelesaian luar mahkamah yang membuatkan 1MDB terpaksa membuat bayaran sebanyak dua kali kepada IPIC?

Adakah hanya Kementerian Kewangan saja yang mahu terus dengan prosiding timbangtara, manakala pihak lain termasuk Najib, tidak berminat dengannya?

Kenapa dalam rundingan penyelesaian itu, sebagaimana yang disebut sendiri oleh Johari beberapa hari sebelum ini, Kementerian Kewangan tidak dilibatkan sama-sekali, sebaliknya hanya diwakili oleh 1MDB dan pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri sahaja?

Dalam pada itu, kiranya benar juga terdapat surat yang mengesahkan Aabar BVI adalah milik IPIC, mengapa syarikat itu masih membawa isu pertikaian dengan 1MDB ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa?

Apa kong kali kong dan misterinya dalam hal ini?

Bagaimanapun, yang menariknya, di sebalik Johari mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan tidak terlibat dalam rundingan penyelesaian dan enggan memberi komen lanjut, tetapi dalam masa yang sama turut mendedahkan sedikit demi sedikit maklumat lain seolah-olah ada yang tidak kena di sebalik gambaran kononnya program rasionalisasi syarikat pelaburan paling bermasalah itu semakin menunjukkan kemajuan.

Apa lagi yang Johari akan dedahkan selepas ini sebagai petunjuk bahawa beliau bukan saja disisihkan dalam banyak perkara, sama seperti yang dialami Husni Hanadzlah sebelum ini, tetapi juga untuk menunjukkan kemelut 1MDB masih jauh dari hakikat penyelesaian yang sebenar-sebenarnya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.