‘KALAU AZMIN SERTAI PAS, BARULAH BOLEH RUNDING’

KUALA LUMPUR – Pas kekal dengan pendirian tidak akan mengadakan sebarang bekerjasama politik dengan PKR, khususnya dalam menghadapi PRU14.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan dan strategi parti itu yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak pada Mei lalu.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa parti itu bersedia membuka pintu untuk berunding bersama Pas dianggap sebagai satu usahanya sahaja.

“Kita masih tetap dengan strategi kita. Kecuali apabila beliau (Mohamed Azmin) keluar PKR dan sertai Pas, barulah kita boleh bincang dan bekerjasama,” katanya pada sidang media selepas program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, masih belum terlambat untuk Pas dan PKR berunding demi masa depan bersama.

Sementara itu, mengulas berhubung Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164], beliau berkata Pas konsisten menentangnya.

“Tindakan kita yang seterusnya adalah mengemukakan resolusi dan cadangan kita kepada menteri berkaitan iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Kita juga akan bertemu secara rasmi mereka berdua pada Isnin nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas juga akan melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa isu itu lebih jauh kepada pihak berkepentingan seperti Majlis Raja-raja.

“Selain itu kita juga menggerakkan masyarakat untuk memahami isu ini supaya dapat bersama dengan kami.

“Perjuangan ini bukan hanya pandangan Pas, tapi juga NGO Islam bahawa pindaan Akta 164 adalah pindaan yang bercanggah dengan Perlembangaan dan peruntukan udang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau turut mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melihat kembali perkara ini daripada pelbagai sudut.

“Jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuklah orang Islam dan bukan Islam, kerajaan dan Majlis Raja-raja.

“Ini dapat memastikan supaya apa yang dirumuskan lebih harmoni dan tidak bercanggah dengan Perlembangaan dan menguntungkan semua pihak,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.