KALAU ADA SURUHANJAYA SIASAT MEMALI, HADI MESTI JADI SAKSI, KATA DAP

HADI Awang mesti menjelaskan hubung kait amanat politiknya dengan peristiwa Memali yang membunuh 18 orang, sekiranya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi membongkar semula apa yang berlaku 32 tahun lalu, kata pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Katanya, kalau suruhanjaya siasatan diraja itu ditubuhkan, Hadi mesti dipanggil sebagai saksi bukan saja untuk itu tetapi menjelaskan kedudukan amanat itu sekarang setelah beliau menjalinkan hubungan baik dengan Umno.

“Biar Hadi tampil di hadapan RCI tragedi Memali untuk memberi keterangan kesan Amanat Hadi atas kehilangan 18 nyawa pada 1985 itu dan letak duduk Amanat Hadi dalam hubungan mesranya sekarang dengan Najib dan skandal 1MDB,” kata Lim dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelas Lim, apa yang dilakukan oleh Hadi sebagai presiden PAS selepas Pakatan Rakyat berpecah, bertentangan dengan pendirian pemimpin kanan PAS sebelumnya seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat, Fadzil Noor dan Yusof Rawa.

Katanya, tidak susah hendak membayangkan Nik Aziz, Fadzil Noor dan Yusof Rawa mengetuai kempen membongkar skandal 1MDB dan membersihkan nama Malaysia di mata dunia, tetapi bukan Hadi.

“Kenapa jadi begini?” tanya Lim.

Ketua Parlimen DAP itu mengulas laporan The Malaysian Insight yang memetik bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor berkata tindakan kerajaan menubuhkan RCI hanya akan mendedahkan peranan Hadi sebagai punca berlakunya tragedi berdarah Memali.

Rahim menarik perhatian kepada ucapan Hadi dalam sebuah ceramah pada 1981 yang mempengaruhi Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya sehingga terjebak melakukan kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Ucapan itu terkenal dengan gelaran “Amanat Hadi”.

Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli parti Islam itu di seluruh negara pada ketika itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk mereka sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah antara pengikut PAS dan Umno.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwakekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir Mohamad berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Sementara itu, seorang lagi bekas ketua polis negara Mohamed Hanif Omar bertanya apa faedahnya RCI itu kerana apa lagi yang hendak disiasat tentang peristiwa lebih tiga dekad itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.