KAKAK IPAR LIM GUAN ENG DISAMUN, RUGI RM2,000

GEORGETOWN – Kakak ipar kepada ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng disamun di rumahnya di Minden Heights, Gelugor, Georgetown, malam tadi.

Mangsa, 51, yang baru tiba di rumahnya disamun seorang lelaki ketika meletakkan kereta di halaman rumah, lapor Harian Metro.

Memetik sumber polis, kejadian berlaku 8.15 malam selepas mangsa yang juga doktor pakar membuka pintu pagar automatik.

“Tiba-tiba seorang lelaki dipercayai bersenjatakan spanar memecahkan cermin bahagian penumpang dan melarikan beg milik mangsa.

“Dalam beg terbabit mengandungi wang tunai, telefon bimbit dan dokumen peribadi. Jumlah kerugian dianggarkan RM2,000,” katanya.

Suspek bersama rakannya, yang menunggu di luar rumah dengan sebuah motosikal ketika kejadian masih diburu polis.

Kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.