KAJISELIDIK INVOKE – BUANG MASA SAJA PAS BERTANDING PILIHANRAYA

Latar Belakang

Walaupun parti-parti pembangkang bertanding di bawah satu gabungan (misalnya Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera), undi kepada setiap parti komponen adalah berbeza-beza dan tidak sekata.

Dalam pertandingan 3 penjuru, perbezaan undi sebanyak 2% – 5% di antara 2 parti komponen dalam satu gabungan yang sama boleh menyebabkan gabungan tersebut kalah kepada Umno/Barisan Nasional.

Perkara ini kerap berlaku dalam pilihanraya umum yang lepas: pengundi PAS di Machang mengundi PAS di kerusi-kerusi DUN tetapi mengundi Umno di kerusi Parlimen menyebabkan kekalahan calon PKR.

Kajiselidik kebolehpindahan undi adalah penting untuk menentukan perkara-perkara berikut:

i) Tahap sokongan mengikut kaum mengikut parti pembangkang (bukan mengikut gabungan)

ii) Sama ada pengundi satu parti pembangkang akan tetap mengundi parti komponen lain di dalam gabungan apabila partinya tidak bertanding

iii) Parti pembangkang yang paling sesuai untuk bertanding di setiap kerusi parlimen bagi meningkatkan peluang menewaskan Umno/Barisan Nasional dalam pertandingan 3 penjuru
Kaedah dan Sampel 10,523 orang pengundi berdaftar di seluruh negara ditemuramah di dalam bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Melayu:

Pengundi Melayu – Bahasa Melayu, Pengundi Cina – Bahasa Mandarin, Pengundi India – Bahasa Tamil, Pengundi Bumiputra Sabah/Sarawak – Bahasa Melayu.

Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Kajiselidik dijalankan selama dua bulan dari 6 Februari 2017 ke 6 April 2017.

Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer INVOKE.

Seramai 1.67 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 116,922 orang pengundi mengangkat telefon dan 10,523 orang pengundi menjawab kesemua 40 soalan yang ditanya.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 10,523 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:

i) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara

ii) Keputusan 10,523 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara

Pengundi ditanya kecenderongan mereka mengundi di dalam pertandingan 3 penjuru dan 2 penjuru mengikut parti-parti yang bertanding, contohnya:

i) Jika berlaku pertandingan 3 penjuru di antara Umno, PKR dan PAS, parti mana yang akan anda undi?

ii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PKR sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iii) Jika pertandingan itu menjadi 2 penjuru di antara Umno dan PAS sahaja, parti mana yang akan anda undi?

iv) Ulang bagi setiap kombinasi parti yang bertanding

Kesimpulan

Jika pertandingan 3-penjuru berlaku dalam PRU14, sentimen pengundi semakin beralih ke arah pertembungan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Tahap sokongan kepada PAS merudum lebih cepat berbanding parti-parti lain dan PAS sekarang berada di tempat tercorot sekiranya berlaku pertandingan 3-penjuru.

Dengan 35% responden memilih untuk tidak memberitahu parti yang mereka akan undi, kelebihan % sokongan Umno/Barisan Nasional adalah rendah memandangkan responden yang memilih tidak menjawab berkemungkinan penyokong Pakatan Harapan atau PAS.

RAFIZI RAML
bagi pihak INVOKE
Ulasan Blog – Kajiselidik ini memberi gambaran yang nyata bahawa PAS adalah pengacau, merudum sokongan dan tidak diperlukan untuk agenda perubahan menyelamatkan negara.

Daripada 80 kerusi yang mahu ditandinginya, barangkali 8 kerusi pun Pas sukar untuk mencapai kemenangan.

Maka, yang sepatutnya berlaku bukanlah Pakatan Harapan tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang Pas bertanding sebagaimana yang diseru oleh beberapa pemimpin parti itu, sebaliknya Paslah yang sepatutnya tidak bertanding langsung dalam pilihanraya akan datang ini.

Pas, dengan hanya bersama Ikatan, sebuah parti cilik yang dengar khabarnya mempunyai keahlian tidak sampai pun 1,000 orang, adalah entiti kecil lagi terpencil berbanding Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pakatan Harapan juga jelas perjuangan dan arah yang mahu ditujunya iaitu menyingkirkan Najib Razak, mengalahkan BN serta menyelamatkan negara daripada kleptokrasi yang berterusan.

Apa agenda perjuangan Pas? Penasihat kepada kerajaan?

Lagi pula, dengan hasrat bertanding di 80 kerusi Parlimen saja, itupun terhad di kawasan luar bandar dan perkampungan Melayu, apakah perubahan yang mampu Pas janjikan untuk rakyat dan negara secara keseluruhannya?

Sekadar ingin menjadi kuasa penentu atau “king maker” di ketika rakyat sedang meluap-luap dahagakan perubahan, boleh juga dikira suatu bentuk pembelotan dan pengkhianatan, apa lagi kalau nama agama dijual sama di merata-rata.

Di Muktamar Pas bermula 28 April ini di Kedah, memuktamadkan tidak bertanding pada PRU 14 adalah pilihan terbaik bagi Pas sementara mereka melakukan muhasabah dan koreksi diri atas kecelaruan yang didatangkan oleh kepimpinan Hadi Awang yang membingungkan ahli dan penyokongnya sendiri selama ini.

Untuk apa Pas menyertai pertandingan kiranya sebelum, semasa atau selepas keputusan pilihanraya nanti, hanya cemuhan dan kejian saja yang mereka terima?

– ShahbudinHusin

.