KAJIAN: PAS PALING POPULAR TAPI MUHYIDDIN CALON PM DISUKAI

KUALA LUMPUR – PAS parti paling popular di kalangan pengundi, mengatasi Barisan Nasional (BN) dan PKR, menurut satu tinjauan parti pembangkang.

Keputusan kajian itu didedahkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dibuat sebelum serpihan Umno ini ditubuhkan, kepada media hari ini.

Kira-kira 44.4 peratus daripada 3,000 responden memilih PAS, sementara 36.2 peratus memilih BN dan 25.9 lagi menggemari PKR.

Kajian itu dibuat antara Mac hingga Ogos tahun lalu, sebelum parti yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dirasmikan.

Mengumumkan keputusan itu, ketua biro strategi PPBM Datuk Rais Hussin berkata pihaknya merancang membuat tinjauan sama “What Malaysia Wants 2.”

Dalam tinjauan tersebut, Muhyiddin muncul tokoh paling popular sebagai calon baru perdana menteri, sementara Dr Mahathir berada di tempat kedua.

Bekas timbalan perdana menteri itu, kini presiden PPBM, mendapat 37.3 peratus sokongan, sementara pengerusi parti itu memperolehi 35.9 peratus.

Responden yang sama memilih presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi pilihan ketiga dengan 34.3 peratus.

Calon perdana menteri pembangkang sebelum ini, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya berada di tangga keenam.

– Malay Mail

.