KAJI SEMULA ALASAN DEBAT TIDAK DIBENARKAN – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengkaji semula keputusan pihak polis untuk membatalkan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebelum memutuskan sama ada acara itu perlu diberi lampu hijau atau sebaliknya.

“Saya akan melihat semula alasan-alasan pembatalan yang dikemukakan oleh pihak Ketua Polis Selangor dan sebelum itu (oleh) Pemangku Ketua Polis Perak.

“Jika kita rasa perbahasan perlu diteruskan, kita akan meminta pihak polis supaya memberi permit,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke The International Modern Arabic International School (IMAS) di Putrajaya pagi ini.

Zahid yang juga adalah menteri dalam negeri berkata beliau perlu berunding dengan pihak polis kerana mereka mungkin tidak mendedahkan sebab sebenar untuk membatalkan perbahasan itu.

“Saya perlu menghormati keputusan dan cadangan mereka,” katanya.

Sebelum itu, Zahid berkata, polis tidak merujuk kepada dirinya mahupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pembatalan kedua-dua debat di Perak dan Selangor.

“Keputusan semata-mata dibuat oleh Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis Perak,” katanya.

Perdebatan antara Mahathir dan Nazri pada awalnya dijadualkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar pada 25 Mac.

Bagaimanapun, polis Perak membatlakan permit selepas mengambil kira faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Pihak penganjur debat itu, Sinar Harian, kemudian sepatutnya mengadakan majlis itu di Shah Alam pada 7 April, tetapi ini juga telah dibatalkan oleh pihak polis.
Semalam, Nazri, yang bengang dengan tindakan polis itu mencadangkan supaya majlis itu akan diadakan di auditorium polis di Cheras, atau lebih baik lagi, di Antartika.

Dengan nada menyindir, katanya, di Antartika “penguin tidak faham Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan oleh itu, tidak akan berlaku rusuhan.”

– M’kini