‘Kadir kritikal ke atas k’jaan kerana dendam kesumat’

“Siapakah Kadir Jasin? Mengapa kamu bimbang mengenai Kadir Jasin?”

Demikian reaksi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila seorang wartawan cuba meminta beliau mengulas kenyataan Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin bahawa pelaksanaan dasar gaji minimum adalah satu malapetaka.

Sebelum sempat soalan itu selesai diajukan, Tengku Adnan menyelar Kadir yang juga adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times berhubung posting di blognya semalam.

“Kamu perlu tahu mengapa Kadir Jasin begitu lantang.

“Kerana sebelum in, dia adalah seseorang dan apabila pemimpin baru mengambil alih, beliau diminta untuk beredar.

“Dia ada dendam kesumat. Bila ada dendam kesumat, inilah masalahnya,” katanya.

Kadir semalam secara sinis membidas cara Datuk Seri Najib Razak mengendalikan ekonomi negara dan memberikan maklum balas terhadap permintaan perdana menteri untuk mendapatkan input awam bagi bajet 2017 dengan mencadangkan supaya orang lain dibiarkan merancang ekonom negara.

Katanya, satu-satunya cara untuk memulihkan ekonomi negara adalah memastikan BN digantikan pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil menasihati Kadir agar tidak mengikut emosi dan cuba untuk “menjatuhkan” kerajaan kerana rasa tidak puas hati, Tengku Adnan berkata, kes yang sama berlaku ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“(Sama) seperti apa berlaku kepada Mahathir. Mengapa guna perasaan?

“Kami adalah sebuah kerajaan yang mengambil berat, bertanggungjawab dan menjaga kebajikan rakyat.

“Tidak baik bagi kamu memburuk-buruk (kerajaan) hanya kerana kamu tidak dapat cara kamu,” katanya.

Mahathir yang adalah pengkritik lantang pentadbiran Najib, meninggalkan Umno awal tahun ini.

Bersama-sama dengan bekas timbalan pengerusi Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain, Mahathir menubuhkan sebuah parti baru, Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

Kadir adalah antara penyokong kuat Dr Mahathir dan juga sering-kali membidas kerajaan semasa.

– M’kini

.