KABINET KERAJAAN ATAU KABINET KAYU? SETELAH NAZRI MENJAWAB DI PARLIMEN, MENGAPA KABINET TIDAK BERTANYA LEBIH LANJUT KEPADANYA?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menghangatkan lagi kecelaruan kerajaan dalam perlaksanaan sistem IMAMS apabila menyatakan kabinet hanya dimaklumkan secara umum saja mengenainya dan tidak pernah menyatakan sistem itu akan dikendalikan oleh syarikat swasta.
Kata beliau, kabinet hanya dimaklumkan syarikat pengendali umrah akan didaftarkan dan pemantauan akan dilakukan bagi mengelak jemaah umrah menjadi mangsa penipuan.
Tetapi ianya tidak langsung menyebut mengenai perlantikan mana-mana syarikat untuk mengendalikan sistem pemantauan ini dan menggunakan sumber luar, ujar Zahid Hamidi.
Dengan kenyataan Zahid Hamidi ini, persoalan yang tentunya bermain-main dalam fikiran kita ialah apakah jenis kabinet yang ada sekarang ini?
Adakah ia kabinet yang mengurus kerajaan atau kabinet kayu usang untuk menyimpan pakaian-pakaian lama?
Benarkah kabinet hanya dimaklumkan mengenai IMAMS secara umum saja seperti yang dinyatakan oleh Zahid Hamidi itu?
Jika demikian, bagaimana Nazri boleh memberi penjelasan di Parlimen sebagaimana video rakamannya di sini https://youtu.be/2AvbuxUITnc dan dengan nyata menyebut caj bayaran RM90.10 akan dikenakan?
Adakah Nazri sebagai menteri kanan hanya pandai-pandai sendiri saja memberi penjelasan di Parlimen dan tidak memaklumkan kepada kabinet terlebih dahulu?
Kiranya itu yang yang berlaku, tidakkah Nazri sebenarnya telah melakukan suatu kesalahan dengan melaksanakan sesuatu program yang melibatkan kepentingan ramai tanpa memberitahu kepada kabinet?
Meskipun demikian, kabinet khususnya Najib Razak dan Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak boleh lepas tangan begitu saja dalam hal ini.
Di mana mereka ketika Nazri menjawab persoalan mengenai IMAMS di Parlimen?
Kalaulah benar kabinet hanya dimaklumkan secara umum saja mengenai sistem IMAMS, kenapa mereka tidak pernah bertanya kepada Nazri dengan lebih lanjut selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu bercakap mengenainya di Parlimen?
Mengapa baru sekarang Zahid Hamidi menyatakan kabinet tidak dimaklumkan mengenai perlantikan syarikat swasta untuk menguruskan IMAMS sedangkan peluang terbuka luas sebelum itu untuk Najib dan beliau sendiri bertanya serta  memperincikan banyak persoalan kepada Nazri dalam setiap minggu mesyuarat kabinet diadakan?
Kalau bukan kabinet, siapakah yang memberi kebenaran kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menetapkan tarikh 15 Disember sebagai detik berkuatkuasanya sistem IMAMS sebagaimana majlis pengumumannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini?
Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Atau mungkinkan kenyataan Zahid Hamidi ini bertujuan untuk menunjukkan betapa lemah, lompong dan lepas tangannya kepimpinan Najib dalam mengurus negara?

Kepada rakyat, pengundi dan mereka yang cintakan negara ini, meskipun hari-hari terpaksa membayar cukai GST, masih mahukah kita menyusahkan anak cucu dan generasi akan datang dengan terus mengundi UMNO dan BN yang jelas semakin tidak bermaya mentadbir negara serta memberi kesejahteraan yang lebih bermakna?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.