KABINET BAYANGAN KERJA ‘ORANG LUAR’

SHAH ALAM – Penyebaran Kabinet bayangan Pakatan Harapan adalah angkara orang luar dan bukannya dalam kalangan pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamarudin Mohd Noor berkata, sehingga hari ini Bersatu masih belum terlibat sebarang perbincangan mengenai Kabinet bayangan.

“Ini semua rekaan pihak tertentu. Perbincangan pun belum ada, bagaimana senarai kabinet bayangan ini boleh ada.

“Bagaimanapun, kita tidak mampu menghalang spekulasi seperti ini berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, satu lagi senarai Kabinet bayangan mulai tersebar kepada media yang mana di dalam senarai tersebut  meletakkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku timbalannya.

Kamarudin berkata, Kabinet bayangan bukanlah perkara mudah yang boleh dilakukan tanpa perbincangan melibatkan rakan parti pembangkang yang lain.

“Kita kita sendiri perlu membuat keputusan tanpa melibatkan pihak lain, mungkin mudah untuk kita adakan kabinet bayangan ini.

“Tapi bila ia melibatkan rakan lain, jadi semuanya perlu dilakukan dalam perbincangan. Buat masa ini, kerjasama politik pun belum selesai, bagaimana kita mahu adakan Kabinet bayangan,” ujarnya.

– SH

.