JUSTO DIBEBASKAN DARI PENJARA THAILAND HARI INI

Bekas kakitangan Petrosaudi International, Andre Xavier Justo yang terpalit dalam siasatan skandal 1MDB telah dibebaskan dari penjara Thailand.

Memetik laporan Reuters, Justo merupakan antara 150,000 banduan Thai dan asing yang mendapat pengampunan diraja oleh raja Thailand yang baharu, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradevarangkun.

Justo akan dihantar pulang ke Switzerland, kata peguamnya.

Sejurus selepas dibebaskan, Justo yang berpakaian t-shirt putih, seluar pendek biru dan flip flop telah dibawa ke pusat tahanan imigresen di Bangkok dengan menggunakan van polis yang diiringi empat komando polis.

“Saya gembira dihantar pulang ke rumah,” ujar Justo kepada Reuters ketika dalam perjalanan ke pusat tahanan tersebut. “Saya harap dapat sampai malam ini.”
Justo dipenjara selama tiga tahun pada bulan Ogos 2015 selepas polis Thai berkata beliau mengaku memeras ugut dan cuba memeras ugut bekas majikannya, Petrosaudi International, sebuah syarikat minyak dan gas berpangkalan di Arab Saudi yang juga bekas rakan kongsi usaha sama 1MDB.

Sebelum ini, peguamnya Worasit Piriyawiboon memaklumkan mengenai pembebasan Justo setelah anak guamnya memenuhi syarat untuk pengampunan diraja kerana Justo mempunyai tempoh hukuman penjara kurang daripada setahun.

Raja baharu itu mengurniakan pengampunan diraja kepada banduan sempena baginda menaiki takhta baru-baru ini, berikutan kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Okt lalu.

– M’kini

.