JUSTO DAPAT PENGAMPUNAN DIRAJA, KATA PEGUAM

Bekas kakitangan Petrosaudi International, Andre Xavier Justo merupakan antara ribuan banduan Thai dan asing yang mendapat pengampunan diraja oleh raja Thailand yang baharu, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradevarangkun.

Peguamnya Worasit Piriyawiboon yang memaklumkan mengenai pembebasan Justo tidak lama lagi itu berkata anak guamnya memenuhi syarat untuk pengampunan diraja kerana Justo mempunyai tempoh hukuman penjara kurang daripada setahun.

“Ya, Justo akan mendapat pengampunan diraja daripada Raja Rama X (Raja Maha Vajiralongkorn). Dia memenuhi syarat untuk pembebasan dari penjara selepas menerima pengampunan diraja yang terkini, kerana dia mempunyai kurang daripada setahun tempoh penjara,” katanya kepada Bernama di Bangkok, hari ini.

Warga Switzerland itu dijangka akan dibebaskan dari penjara antara tiga dan tujuh hari selepas pengumuman pengampunan diraja, yang disiarkan dalam Warta Diraja Ahad lalu.

Raja baharu itu mengurniakan pengampunan diraja kepada banduan sempena baginda menaiki takhta baru-baru ini, berikutan kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Okt lalu.

Menurut Worasit, dengan pengampunan diraja itu, anak guamnya akan dapat menyambut Krismas bersama keluarganya.

“Dia (Justo) dijangka akan dibebaskan dari penjara sebelum Krismas dan saya rasa dia akan dapat merayakan Krismas dengan keluarganya di Switzerland,” katanya.

Peguam itu berkata kali terakhir beliau bertemu anak guamnya adalah pada 1 Dis lepas dan memaklumkan kemungkinan dia mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara apabila raja baharu menaiki takhta.

“Saya rasa dia (Justo) sudah tahu (mendapat pengampunan diraja) pada masa ini kerana dia mempunyai ramai kawan di sana (dalam penjara),” katanya.

Worasit berkata banduan asing yang menerima pengampunan diraja seperti Justo, kemungkinan besar akan dilepaskan selepas banduan Thai dibebaskan.

Bekas eksekutif IT di Petrosaudi berumur 49 tahun itu telah menerima pengampunan diraja pada Ogos, sempena ulang tahun ke-70 mendiang Raja Bhumibol Adulyadej menduduki takhta dan ulang tahun kelahiran Permaisuri Sirikit.
Pengampunan diraja itu membolehkan Justo, yang didapati bersalah oleh mahkamah Thai pada Ogos tahun lepas selepas dia mengaku bersalah kerana cuba memeras ugut bekas majikannya, menjalani hukuman satu pertiga daripada tiga tahun penjara.

Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan mengarahkan Justo menjalani hukuman penjara bermula 22 Jun tahun lepas, pada hari pihak berkuasa Thai menahannya di pulau Koh Samui, selatan Thailand.

– Bernama

.