JURUBANK SINGAPURA DIPENJARA 54 BULAN KERANA JENAYAH BERKAITAN 1MDB

MAHKAMAH Singapura menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun dan 6 bulan kepada bekas perancang kewangan BSI Singapura, Yeo Jiawei atas tuduhan penggubahan wang haram dan penipuan berkaitan dengan salah guna berbilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam siri siasatan yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Yeo, 34, mengaku bersalah atas dua tuduhan kerana penggubahan wang haram dan menipu dan lapan lagi dakwaan lain yang turut dibicarakan, lapor The Straits Times.

Hukuman penjara itu yang terberat pernah dijatuhkan mahkamah Singapura dalam jenayah berkaitan 1MDB.

Yeo akan mula menjalani hukuman penjara 54 bulan itu serentak dengan hukuman penjara 30 bulan yang diterimanya pada Disember 2016 kerana persaksian palsu.
Menurut laporan, Yeo meraih S$26 juta (RM81 juta) keuntungan ketika dia bersama BSI sejak 2009 sehingga 2014 termasuklah keuntungan yang didakwa daripada jenayah penggubahan wang haram itu.

Walaupun banyak siasatan sedang dilakukan di seluruh dunia, termasuk tiga saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Singapura ialah negara tunggal yang berjaya mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal dana sarat hutang  Share this quote  Share this quote yang dipengerusikan Perdana Menteri Najib Razak itu.

Pelbagai sumber mengesahkan yang Najib ialah tumpuan siasatan AS, dinamakan dalam dokumen mahkamah sebagai ‘Malaysian Official 1’.

Najib, bagaimanapun berulang kali menafikan wujudnya salah laku dan penyiasat Malaysia juga memutuskan tiada kes untuk diambil tindakan dalam skandal itu.

Di Singapura pula, seorang jurubank kanan Yak Yew Chee dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu pada November 2016 dan didenda kerana memalsukan dokumen dan gagal melaporkan transaksi meragukan yang didakwa ada kaitan dengan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai ‘Jho Low’, seorang ahli perniagaan Malaysia yang dikatakan berperanan penting dalam skandal itu.

Seorang lagi jurubank, Yvonne Seah Yew Foong pula dipenjara dua minggu dan didenda pada 16 Disember tahun lepas kerana kesalahan sama.

Jens Struzenegger, rakyat Switzerland pula dijatuhkan hukuman penjara 28 minggu dan denda S$128,000.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) menjatuhkan hukuman kepada semua orang yang dibuktikan terlibat dengan skandal itu termasuklah larangan bekerja di sektor kewangan republik itu seumur hidup.

MAS juga membatalkan lesen perdagangan dan mendenda beberapa institusi kewangan yang turut terlibat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.