JUALAN AKHBAR MEROSOT, BN BAKAL BERMASALAH, KATA EDITOR

PERDANA Menteri Najib Razak dan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Putrajaya bakal berdepan masalah besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas satu daripada tiga tonggak utama senjata kempennya iaitu media semakin hilang pengaruhnya.

Wartawan kanan Abdul Jalil Ali, yang juga anggota dalam beberapa panel penasihat Putrajaya, berkata media utama di Malaysia kini benar-benar dalam masalah apabila jualannya semakin merosot teruk saban tahun.

Media adalah antara “3M” yang dianggap sebagai senjata dalam pilihan raya selain jentera (machinery) dan dana (money).

Penasihat Editorial Kumpulan Karangkraf itu berkata “pengamal media kini dalam keadaan tertekan” ekoran kejatuhan besar jualan akhbar sejak akhir-akhir ini.

“Bayangkan, dahulu jualan Sinar Harian kira-kira 130,000 naskhah sehari, kini tinggal hampir separuh sahaja.

“Akhbar lain lagi teruk,” kata penasihat editorial akhbar Sinar Harian itu kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, apabila media cetak yang dikawal oleh kerajaan tidak laku, maknanya kerajaan tidak dapat mempengaruhi pengundi dengan berkesan.

Putrajaya mengawal ketat kandungan berita melalui undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, manakala akhbar masih memerlukan permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 walaupun peruntukan lain seperti pembaharuan permit tahunan telah dilonggarkan beberapa tahun lalu.

Kajian Audit Bureau of Circulations (ABC), agensi yang memantau prestasi industri persuratkhabaran di Malaysia, bagi tahun berakhir Disember 2016 menunjukkan akhbar Harian Metro jatuh paling teruk iaitu sebanyak 62.5%. Edarannya pada hujung tahun 2012 ialah sebanyak 379,169 naskhah, jatuh sehingga 142,262 naskhah pada akhir tahun lalu.

Akhbar New Straits Times (NST) pula kedua merosot paling teruk, jatuh 41.6% kepada hanya 54,490 naskhah bagi setiap keluaran pada akhir tahun lalu berbanding 93,321 empat tahun sebelumnya.

Akhbar harian utama berbahasa Melayu juga mengalami nasib sama. Utusan Malaysia dan Berita Harian jatuh 30% dalam tempoh yang sama.

NST, Berita Harian dan Harian Metro dimiliki oleh Kumpulan Media Prima yang akrab dengan kerajaan BN. The Star pula dimiliki secara majoriti oleh parti MCA melalui badan pelaburannya, sementara Umno memiliki kira-kira 50% pegangan dalam Utusan Malaysia.

“Bagi saya kerajaan dalam masalah, bahkan Najib juga dalam masalah. Saya telah sebut hal ini dalam beberapa mesyuarat panel,” katanya.

Menurut Jalil, kerajaan sekarang hanya boleh mengawal akhbar tetapi tidak lagi upaya mengawal berita yang disebarkan kepada orang ramai.

“Dahulu semasa zaman Dr Mahathir Mohamad, beliau berjaya kawal akhbar dan berita yang tidak disukai daripada tersebar.

“Tetapi sekarang kerajaan hanya boleh akhbar macam akhbar kami (Sinar Harian) tetapi mereka tidak boleh lagi sekat berita daripada tersebar.

“Itu sebab saya selalu kata kepada pihak kerajaan, anda tidak boleh sekat lagi berita pada zaman ini.

“Apa yang perlu dibuat ialah memberi penerangan dan menjawab segala berita (yang tidak disukai) dengan bijak,” katanya.

Jalil juga berpendapat sebelum ini hanya akhbar alternatif sahaja yang boleh mencabar kewibawaan media arus perdana tetapi sekarang sudah ada media baru di Internet dan kemajuan teknologi pula membolehkan semua orang menyebarkan maklumat.

Jalil pernah memimpin beberapa penerbitan akhbar alternatif termasuk Watan pada tahun 1980-an, sebelum ia ditutup ketika Operasi Lalang pada 1987, dan Eksklusif, ketika era Reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno.

“Dahulu kerajaan selalu kata, kami ini (media alternatif) sokong pembangkang. Tetapi sebenarnya tidak. Kami pengamal media bebas, yang bebas mengkritik dan memberikan pandangan.

“Kami hanya melaporkan apa yang tidak ada di media arus perdana pada ketika itu. Media itu pun dikawal sepenuhnya dulu oleh kerajaan.

“Tetapi kini kerajaan hanya boleh kawal akhbar tetapi tidak boleh mengawal berita daripada disebarkan melalui laman web dan sebagainya,” kata Jalil.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak baru-baru ini mengakui bagaimana media sosial sudah jadi platform pilihan untuk berkomunikasi termasuk untuk kempen politik menuju PRU14, kerana sifatnya yang pantas serta kos yang rendah.

Laporan The Digital News Report 2017 baru-baru ini menyebut 51% daripada pengguna Internet di Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita atau berita.

Ia merupakan platform kedua popular dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia selepas Facebook (58%), diikuti YouTube (26%), WeChat (13%) and Instagram (13%).

Najib, dalam sebuah ucapan pada April lalu, mengakui peranan penting akhbar dalam masyarakat yang bebas dan mengatakan pentadbirannya telah membuka ruang untuk media memainkan peranan demokrasinya.

Media di Malaysia juga katanya bebas mengkritik kerajaan, menteri dan pegawai pentadbirannya, kata Najib.

“Ada lebih daripada cukup kritikan yang tersebar. Dan kalau anda lihat media dalam talian dan media sosial, ia seperti zaman koboi,” katanya, ketika berucap pada majlis Anugerah Media Asia WAN-IFRA ke-16 di Kuala Lumpur, pada 19 April lepas.

“Apa yang hendak saya katakan ialah kebebasan bersuara subur di Malaysia.”

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.