JOHOR DICADANG ROMBAK SEMULA PENTADBIRAN NEGERI

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor dicadangkan untuk membuat rombakan pentadbiran negeri secara menyeluruh bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap urus tadbir negeri yang didakwa telah terjejas susulan skandal rasuah hartanah Johor.

Cadangan itu disuarakan, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim yang menyeneraikan tiga tindakan yang harus diambil Mohamed Khaled Nordin meskipun apa jua keputusan yang bakal diperolehi berhubung penyelewengan hartanah bumiputera itu kelak.

“Khaled harus membawa satu cadangan ke Dewan Negeri untuk membincangkan bagaimana wakil-wakil rakyat boleh menilai dan memilih satu juru audit bebas untuk membuat siasatan audit ke semua jabatan dan akaun yang terlibat dengan skandal ini.

“Beliau juga harus membuat rombakan kabinet negeri secara menyeluruh kerana imej kabinet negeri telah rosak dan rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka.

“Ahli Exco perlu mengisytiharkan aset mereka kepada semua pihak, dan kerajaan negeri harus memastikan tidak ada ahli keluarga, mana-mana exco yang terlibat secara langsung dengan hal ehwal tadbir urus kerajaan negeri,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, keperluan juru audit bebas ini akan membantu mengenalpasti kelemahan sistem tadbir urus diperingkat jabatan-jabatan.

Usul rombakan juga dilihat berkeperluan tinggi terutamanya bagi pegawai-pegawai kanan di jabatan-jabatan penting dan sensitif seperti unit tender atau kewangan, tidak boleh melebihi lima tahun di posisi sebaliknya ia harus ditukar menjadi maksimum tiga tahun sahaja.

Justeru, Khaled Nordin harus menerima pakai kaedah seperti ini, apatah lagi telah jelas wujud skandal yang memalukan.

“Cadangan ini barangkali akan membantu memulihkan imej kerajaan Johor, jika ia dilaksanakan sekaligus memberi kelebihan politik kerajaan,” katanya.

– SH

.