JOHARI: SELESAIKAN SEGERA KEMELUT FGV

Pergolakan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) perlu diselesaikan segera kerana ia dikhuatiri boleh menggugat kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap agensi perladangan bersepadu itu, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata perkara itu perlu dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana Felda merupakan syarikat besar dalam aktiviti perladangan negara.

“FGV adalah syarikat yang disenaraikan di bursa dan mencakupi pelaburan pelbagai pihak. Sentimen pelbagai pelabur ini akan terhakis jika kemelut ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh dan sistematik, sekali gus menyebabkan saham FGV merudum saban hari,” katanya kepada pemberita di Program Nur Ramadan 2017 Peringkat Titiwangsa di ibunegara malam tadi.

Beliau diminta mengulas pergolakan dalaman FGV sehingga empat pegawai kanannya diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Kelmarin. Pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad mengeluarkan arahan bercuti itu kepada empat pegawai kanan berkenaan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan untuk menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Mereka yang diarah bercuti adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.

Johari berkata apa jua keputusan yang dibuat perlulah memastikan tiada pihak yang teraniaya atau silap dalam membuat keputusan kerana ia boleh menjejaskan reputasi syarikat terbabit.

Terdahulu, beliau merasmikan program Nur Ramadan dan menyerahkan sumbangan kepada 500 golongan asnaf dari kawasan Titiwangsa.

Sementara itu, pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali dalam meneliti kemelut yang sedang melanda Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) dianggap tepat serta penuh kredibiliti.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Idris merupakan individu paling layak dipilih oleh kerajaan untuk bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi pihak lain.

“Saya yakin keputusan yang dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) itu serta membuktikan kerajaan serius dengan isu-isu berkaitan integriti selain Idris sendiri akan menjalankan tugas itu dengan telus bagi memastikan tiada yang terlepas jika terbukti wujud penyelewengan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Semarak Ramadan di Kangar malam tadi.

Di program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Kedah dan Perlis itu juga seramai 30 anak yatim dari kedua-dua negeri terbabit dirai dengan pemberian sumbangan Aidilfitri.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Mohd Puad turut melontarkan pandangan agar Pengerusi FGV Tan Sri Isa Abdul Samad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad meletak jawatan.

“Cara terbaik bagi saya ialah mereka perlu letak jawatan secara bermaruah, kemudian biarkan Idris membuat siasatan untuk menyelesaikan hal tersebut.

“Ia juga untuk kebaikan melibatkan aspek seperti persepsi dan keyakinan awam, kebaikan pemegang saham dan peneroka FELDA, selain saya melihat mereka sudah tidak boleh bekerjasama lagi,” katanya.

Mohd Puad turut menyifatkan peperangan antara Isa dan Zakaria amat memalukan kerana tidak mengambil langkah perbincangan antara mereka.

“Perkara seperti ini (kemelut FGV) tidak seharusnya berlaku kerana rasionalnya ia boleh diselesaikan secara musyawarah, tetapi apa yang berlaku mereka bergaduh secara terbuka,” katanya.

– Bernama

.