Johari dilantik anggota Lembaga Pengarah Khazanah

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Khazanah berkuat kuasa 15 September 2016.

Menurut kenyataan Khazanah, pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah ke-80 pada 15 September, 2016.

Johari menggantikan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, yang telah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengarah Khazanah mulai 18 Mei, 2009 hingga 15 September, 2016.

Johari memegang jawatan Menteri Kewangan Kedua mulai 27 Jun, 2016. Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Lulusan Diploma Perakaunan dari Institut Teknologi Mara itu, yang juga akauntan bertauliah di bawah Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), memulakan kerjaya di firma perakaunan antarabangsa, Peat Marwick & Co. (kini dikenali sebagai KPMG) sebagai juruaudit.

Selain pernah memegang jawatan utama kanan dalam beberapa syarikat senarai awam, Johari juga menyandang jawatan pengarah urusan di beberapa syarikat yang terlibat dalam industri makanan dan minuman, pertanian dan pembuatan.

Johari, ketika ini juga merupakan Pengerusi Yayasan Bena Nusa, yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dan meningkat tahap pendidikan anak-anak golongan miskin bandar.

Selain itu beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemakanan Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – Bernama

.