JIKA TUN M BOLEH DIKAITKAN, KUCING NAJIB MATI PUN …

Jika boleh dikata sebagai musim, selain musim panas, musim hujan atau musim durian, sekarang ini wajar juga disebut sebagai musim RCI atau musim Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Semua perkara yang menjadi perbualan umum atau pertikaian awam, penyelesaian yang dinampak ialah perlunya RCI ditubuhkan sebagai jawapannya.

Ia bermula dengan permintaan banyak pihak agak RCI ditubuhkan untuk menyelesaikan skandal 1MDB. Tetap, oleh kerana Najib Razak sedang berkuasa dan beliau bimbang jika RCI ditubuhkan, bukan saja mungkin dirinya terkait, malahan juga rakan karib keluarganya, Jho Low dan anak tirinya, Riza Aziz, maka desakan itu “dibutakan mata” dan “ditulikan telinga” begitu saja.

Sebaliknya, akibat kemerosotan sokongan rakyat dan beliau sendiri sedang berhempas pulas untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang, RCI lain iaitu berkaitan kerugian urusniaga forex yang telah berlaku hampir 25 tahun dulu pula yang dipersetujuinya.

RCI forex itu tidak lain ialah semata-mata bertujuan untuk mengenakan Tun Mahathir Mohamad yang kini merupakan musuh nombor satu kepada Najib. Jika hari ini Tun Mahathir masih menyokong Najib dan tidak menjadi Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan, tentulah tidak mungkin RCI forex tersebut ditubuhkan.

Selepas RCI forex, bermula dengan Zahid Hamidi melambung isu Memali untuk perbualan awam dan sekali lagi menyalahkan Tun Mahathir berkaitan tragedi itu, ia juga akhirnya menjurus kepada desakan agar ditubuhkan RCI mengenainya.

Oleh kerana tragedi Memali boleh dikaitkan dengan Tun Mahathir dan mungkin Najib percaya dapat menambahkan bantuan untuk memenangi pilihanraya, tidaklah mustahil RCI Memali akan menyusul ditubuhkan selepas ini.

Tambahan lagi, memandangkan Pas sekarang tidak lagi menganggap UMNO sebagai kafir, perlembagaan UMNO serta perlembagaan negara tidak lagi dilihat sebagai perlembagaan jahiliyah, malah Hadi Awang sudah “bercium mulut” dengan Najib, menubuhkan RCI Memali tentu saja merupakan hadiah yang dapat menggembirakan parti Islam tersebut.

Hari ini, 21 Ogos, RCI forex akan memulakan penyiasatan awamnya dan mereka diberi tiga bulan untuk menyiapkan laporan untuk diserahkan kepada kerajan.

Tidaklah sukar menjangka kenapa tempoh tiga bulan itu diberikan. Ia barangkali bersesuaian untuk Najib mengadakan pilihanraya umum selepas RCI forex itu mengumumkan hasil penyiasatannya nanti.

Sekiranya dua isu iaitu forex dan Memali yang ditubuhkan RCI, tetapi masih belum mampu memastikan kemenangan dalam pilihanraya, tidak mengejutkan jika Najib juga akan turut menubuhkan beberapa RCI yang lain berkaitan isu-isu yang boleh dikaitkan Tun Mahathir dengannya.

Najib tidak akan peduli walau berapa banyak sekali pun RCI yang perlu ditubuhkan. Matlamatnya ialah mahu menang pilihanraya. Jika tanpa banyak RCI dan Tun Mahathir terus memacu sokongan rakyat ke arah kemenangan Pakatan Harapan, sudah tentu pilihan Najib ialah menubuhkan seberapa banyak RCI lagi.

Tidak mustahil perkara seperti Perwaja, kos pembinaan KLCC, KLIA, Litar F1 Sepang, Cyberjaya, Putrajaya, Lebuhraya Utara Selatan dan banyak lagi yang berlaku ketika era kepimpinan Tun Mahathir dulu, termasuk kekayaan anak-anaknya, akan diwujudkan RCI sama.

Selain itu, jika dalam sehari dua ini kucing kesayangan Najib mati, antaranya yang dinamakan Kiki dan Leo, pasti ada macai-macai yang mendesak agar ditubuhkan RCI juga.

Kematian kucing kesayangan itu yang selalu dikongsi dalam laman sosialnya pasti membuatkan Najib kesedihan dan manalah tahu, entah-entah Tun Mahathir pun dapat dikaitkan sebagai puncanya.

Pokoknya, apa saja isu yang boleh dikaitkan dengan Tun Mahathir, tidak kira berapa lama ia sudah berlaku atau sekecil mana kesannya, RCI adalah jalan mudahnya untuk menjadikan Najib dilihat suci dan bersih dari segala dosa dan noda.

Dalam masa yang sama, semua pihak haruslah juga berlapang dada menerima hakikat bahawa hanya membuang masa untuk terus mendesak RCI ditubuhkan untuk 1MDB dan beberapa isu lain yang terkait dengan Najib seperti Felda, FGV, Altantuya, kapal selam Scorpene dan sebagainya.

Sekarang adalah musim RCI untuk mengenakan Tun Mahathir, maka RCI yang lain-lain yang tidak boleh dikaitkan dengan Tun Mahathir akan dianggap tidak penting atau tidak perlu sama sekali.

Musim RCI untuk Najib hanya tiba gilirannya setelah UMNO dan BN ditumbangkan dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baru. Kuasa itu ada ditangan kita sebagai rakyat dan pengundi.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.