JIKA TIDAK KERANA ‘PROJEK KHAS’ TUN MAHATHIR NEGARA AKAN TERUS DIHANTUI

Jika baru-baru ini  banyak ditular tentang kenyataan Tan Sri Sanusi Junid berkata “kalau tak kerana Tun Mahathir, Afghanistan hingga kini tak merdeka, Bosnia & Herzegovina pun tidak merdeka”.

Saya juga ingin menambah bahawa, jika tidak kerana Tun Mahathir memberi lampu hijau kepada Tan Sri Rahim Noor selaku Pengarah Cawangan Khas ketika itu dan Tun Hanif selaku Ketua Polis Negara untuk menggerakkan ‘Projek Khas’ bagi berunding membawa kepada perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM), rasanya sehingga kini negara terus dihantui masalah keganasan pengganas komunis.

Saya baru  membaca dua bab dari buku Wira Tak Didendang hasil karya Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai ZAM. Daripada pembacaan tersebut, banyak hal-hal yang cukup penting dapat dipetik betapa hasil usaha mantan perdana menteri (PM) kita Tun Mahathir yang tidak begitu mudah diremehkan.

Namun, apabila kepentingan diri mengatasi kepentingan majoriti rakyat, semuanya akan dilakukan termasuk bukan saja melupakan jasa Tun Mahathir, malah menghina beliau seolah-olah tidak ada jasa yang perlu dikenang.

Bayangkan betapa sukarnya kehidupan pegawai dan anggota pasukan keselamatan di era PKM masih meneruskan perjuangan di hutan belantara kita termasuk di sempadan Malaysia/ Thailand. Kehidupan rakyat tidak semudah yang disangka kerana ada sebahagian kawasan yang menjadi sasaran pengganas komunis. Perjalanan dari Kedah dan lain-lain negeri di pantai barat ke pantai timur amat memeritkan sebelum adanya Lebuhraya Timur Barat menghubungkan Gerik/Jeli.

Pembangunan di kawasan sempadan dengan negara jiran sudah pasti tidak mampu dilaksanakan kerana bukan saja di sempadan Malaysia Thailand, kita juga berdepan dengan ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Sarawak. Kawasan seperti Wang Klian, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Sintok (dapatkah UUM diwujdukan?), Gerik, Baling, Lebuhraya Timur Barat dan seluruh kawasan sempadan tidak akan dapat dibangunkan seperti sekarang termasuk di Sarawak (tapi ada pemimpin mengatakan Tun Mahathir tidak ada jasa di Sarawak).

Banyak perbelanjaan yang terpaksa dihabiskan untuk tujuan menangkis ancaman PKM dan PKKU sebelum perjanjian perletakan senjata PKM pada tahun 1989 di Hatyai, Thailand. Wang tersebut boleh digunakan untuk tujuan pembangunan, kesihatan, pendidikan dan bermacam-macam lagi.

Daripada catatan ZAM dalam bukunya itu, Cawangan Khas menganggarkan untuk menghapuskan seorang pengganas komunis memerlukan tidak kurang dari RM1 juta ringgit bagi tujuan risikan dan memburu mereka.Dengan jumlah keseluruhan anggota PKM dan PKKU, berapa jumlah yang diperlukan dan berapa ramai anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang akan menjadi korban samada nyawa atau tercedera. Kawasan seperti di sempadan Betong, Thailand dengan Keroh (kini Pengkalan Hulu), Sintok dan sekitar dipenuhi banyak jerangkap samar.

Negara memerlukan pemimpin yang tegas dan berani seperti Tun Mahathir bukan yang ‘flip-flop’ dan menjadi pak turut kepada kuasa-kuasa besar serta menjadikan negara lubuk hutang yang begitu dalam. Negara juga tidak memerlukan pemimpin dan keluarganya berpesta wang ringgit dari kantung negara.

Tun Mahathir telah mengambil risiko yang agak merbahaya walaupun ditaklimatkan oleh Tan Sri Rahim Noor tentang kemungkinan ianya akan dijadikan isu politik akibat masalah penentangan dari dalam UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, kemarahan keluarga mangsa keganasan pengganas komunis, kekecewaan anggota tentera dan polis yang terbunuh dan tercedera ketika memerangi ancaman PKM jika projek khas untuk menamatkan gerakan bersenjata PKM ini diteruskan.

Namun semuanya dikesampingkan dan dipersetujui Tun Mahathir bagi menamatkan ancaman PKM demi kepentingan negara dan rakyat setelah mendengar perancangan teliti oleh Pengarah Cawangan Khas itu.

Seperkara lagi yang menarik untuk ditegaskan, janganlah kita terlalu terikut-ikut rentak mengheret sentimen perkauman sehingga melupakan jasa-jasa kaum Cina yang banyak membantu menamatkan perjuangan PKM.

Robert Kuok hartawan Malaysia yang dikenali sebagai ‘raja gula’ ketika itu beroperasi di Hong Kong dan mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin Republik China telah menjadi penghubung kepada Cawangan Khas dengan pemimpin Parti Komunis China yang diketahui menjadi pendokong utama perjuangan PKM.

Malah Chin Peng pemimpin utama PKM juga berada di sana dan tidak semudah itu memujuk pemerintah Republik China itu membantu kita untuk menamatkan perjuangan PKM tanpa bantuan beliau.

Selain dari itu, keupayaan untuk ‘penetration’ ke dalam unit-unit PKM banyak bergantung kepada pegawai-pegawai Cawangan Khas dari kaum Cina diketuai oleh SAC II Yau Kong Yew Timbalan Pengarah Cawangan Khas dan merekalah menjadi tulang belakang operasi ini sehingga kejayaan dicapai yang turut dibantu pegawai-pegawai Cawangan Khas bangsa Melayu ketika itu.

Malangnya, bangsa Melayu kita sendiri sering mengaitkan Cina dengan Komunis dengan sengaja melupakan atau kejahilan tentang kewujudan Rejimen Ke10 PKM yang kesemua mereka adalah dari bangsa Melayu.

Pada 21 Mei 1949, satu mesyuarat sulit telah diadakan di hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri oleh Abdullah CD, Wahi Annuar, Musa Ahmad dan Chin Peng, dimana dalam perjumpaan itulah Ching Peng telah mengutarakan cadangannya untuk menubuhkan satu rejimen baru dimana anggota-anggotanya hanya terdiri dari orang-orang Melayu.

Rejimen ini diletakkan dibawah pimpinan Abdullah CD, dan Wahi Annuar dilantik sebagai Timbalan Komander, manakala Musa Ahmad pula dilantik sebagai Pegawai Politik.

Tiga bulan selepas tarikh penubuhan Rejimen ke-10 ini, seramai 500 anggota yang dinamakan “Tentera Tani” telah dimasukkan ke dalam Rejimen ke-10. Mereka adalah orang-orang Melayu yang kebanyakkannya berasal dari Temerloh dan Mentakab, Pahang.

Itu belum lagi Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan lain-lain cukup terkenal di kalangan sebahagian rakyat yang gemar membaca. Cina kah mereka?

Kesimpulannya, jasa mantan PM kita Tun Mahathir jangan diremehkan malah menghina beliau tanpa adab sopan kerana banyak jasanya yang kita nikmati sejak beliau memimpin negara hingga sekarang. Begitu juga dengan peranan kaum Cina dan lain-lain kaum di negara ini tidak dihargai hanya memenuhi selera pihak yang sedang nazak.

Wallahualam

Rencana ini ditulis oleh: Sani Ahmad

Catitan:Buku Wira Tak Didendang (BM) dan The Unsung Heroes(BI) tinggal hanya 10 naskah dalam simpanan saya.Harganya  sebuah RM30 termasuk belanja pos.Pesanan boleh di buat on line kapada zainudinmaidin@gmail.com dengan bayaran terus kepada CIMB 80002397357.Harap sertakan alamat anda yang lengkap. 

– http://zamkata.blogspot.sg/

.