Jika subjudis, mahkamah M’sia juga boleh sabitkan MO1

Hujah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa perbincangan mengenai skandal 1MDB di parlimen akan menjejaskan kes mahkamah di Amerika Syarikat juga boleh digunakan oleh penyiasat tempatan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata jika dakwaan Pandikar benar, maka siasatan luar negara boleh mempengaruhi kes yang dibuat di sini terhadap dana berdaulat kementerian kewangan yang dilanda skandal itu.

“Biar saya ingatkan Pandikar, 1MDB adalah subjek utama siasatan pengubahan wang haram dan penipuan di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

“Jika teori subjudisnya betul, kita boleh kemudian bergantung kepada kenyataan umum yang dibuat oleh penyiasat di enam negara itu sebagai bukti untuk mensabitkan […] yang lebih dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ di mahkamah Malaysia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata berdasarkan “kebijaksanaan” speaker, Bank Negara boleh menggunakan penjelasan dalam dokumen Bank Singapura untuk memulakan prosiding terhadap bank-bank tempatan atau subsidirianya yang dikaitkan dengan 1MDB berhubung pemindahan jumlah wang yang besar ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Khamis lalu Pandikar menghalang soalan mengenai skandal 1MDB di parlimen atas alasan subjudis kerana Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat boleh memetik hansard di dalam pendengaran pelucuthakan itu.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram berkata hujah Pandikar adalah tidak benar dari segi undang-undang.

Sementara bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Yunus Mohd Hishamudin juga memberitahuMalaysiakini persoalan subjudis tidak timbul sama sekali.

Beliau berkata ini kerana kes itu sedang didengar di Amerika Syarikat dan bukan Malaysia.

MKINI

.