‘JIKA SAYA FITNAH, DAH LAMA DIHERET KE MAHKAMAH’ – SYED SADDIQ

SHAH ALAM – “Jika saya fitnah, saya percaya saya dah lama diheret ke muka pengadilan, mahkamah” demikian kata Ketua Armada parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, ada individu mengatakan beliau sebagai penghasut, pemfitnah dan tidak bawa apa-apa aspek positif  kepada modal insan anak muda.

“Tapi, saya percaya untuk kita rakyat Malaysia melangkah ke hadapan, kita perlu munasabah dan perlu tahu serta akui masalah sedia ada untuk mencipta lenggok politik baru bagi mengeluarkan jalan penyelesaian yang sebelum ini tiada.

“Kita tidak boleh cakap bagus…bagus..bagus…tanpa mengiktiraf masalah sedia ada, kita akan mencipta masalah yang sama,” katanya dalam program Sembang Gen Y: ‘Bahaya Politik Hasutan’ yang berlangsung di Chipmunk Kafe and Vape, Menara U, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan audiens tentang tindakannya yang dilihat seperti membuat fitnah terhadap kepimpinan negara dan merosakkan pemikiran anak muda.

Katanya, apa yang beliau hujahkan adalah berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Audit Negara dan banyak lagi.

Tambahnya, dari segi jatuhkan maruah Malaysia, jika beliau buat begitu adalah memang dirinya seorang pengkhianat.

“Tapi, sebab utama saya bersuara adalah kerana maruah negara dan nama Malaysia itu sendiri telah diheret ke bawah..siapalah saya Syed Saddiq berumur 24 tahun yang kuat sangat mengheret nama Malaysia.

“Sebelum ini, setiap kali bila keluar negara orang tengok Malaysia, orang akan cakap dua benda iaitu mana kapal terbang hilang dan isu 1MDB. Bukan saya yang letakkan nama Malaysia di muka depan Wall Stree Jurnal (WSJ), New York Times dan lebih 64 surat khabar seluruh dunia,” katanya.

Syed Saddiq menjelaskan, jika kita tidak bersuara dan hanya berdiam diri orang luar akan lihat bahawa kita seperti tidak berbuat apa-apa.

“Jika di negara luar,,,Ya ALLAH, mereka akan kata jika berlaku di negara mereka, mereka akan memberontak tukar kerajaan melalui sistem mereka,” katanya.

Justeru, beliau percaya, apa yang dilakukannya bukanlah fitnah atau menjatuhkan nama baik negara, sebab utama rakyat bersuara adalah kerana kita sendiri tahu apa yang berlaku di dalam negara.

SINAR HARIAN

.