JIKA MAHATHIR BUKAN PM, SIAPA LAGI?

Hari ini saya mendengar khabar angin yang mengatakan Tun Mahathir Mohamad akan dilantik semula menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 kelak.

Saya menarik nafas yang panjang apabila melihat kenyataan ini, besar harapan saya jika ini sekadar khabar angin atau “gimik” untuk mendapatkan perhatian media.

Kita harus mengakui sumbangan yang telah diberikan oleh Tun Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, namun hasrat untuk melantik beliau semula sebagai perdana menteri adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Pembangkang tandus tokoh

Tidak keterlaluan jika saya katakan Tun Mahathir merupakan pemain politik yang paling handal di Malaysia. Ketokohan dan kepintaran beliau bukan sahaja terbukti ketika beliau menjadi perdana menteri, tetapi turut dapat dilihat ketika beliau “berubah angin”.

Jika saya meminta anda menamakan seorang tokoh politik yang “berubah angin”, kemudian diterima oleh bekas seteru politiknya, malahan turut dilantik untuk menjadi orang penting organisasi yang pernah beliau tekan dan sekat, pasti kalian sukar untuk menamakan sesiapa.

Tun Mahathir berjaya melakukan demikian, dan saya fikir beliau sahaja yang mampu melaksanakan hal itu.

Saya fikir ketandusan tokoh dalam blok pembangkang telah menyebabkan hal ini berlaku. Selain daripada Tun Mahathir, siapa yang paling layak untuk menyandang jawatan perdana menteri jika pembangkang menang?

Kepala saya cuma boleh “menjerit” satu nama sahaja, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya bukanlah peminat fanatik Anwar tapi saya berpandangan beliau adalah tokoh yang paling layak untuk diberi peluang menjadi perdana menteri seandainya blok pembangkang menang.

Saya percaya dengan “kuasa politik” yang ada pada sesebuah kerajaan, beliau boleh dibebaskan awal. Saya melihat kepemimpinan beliau sejak berada pada zaman mahasiswa sehinggalah memimpin Pakatan Rakyat memecahkan dominasi Barisan Nasional pada PRU13 menjadi bukti beliau memang layak untuk diberi peluang. Tambahan lagi, beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri, cuma selangkah lagi menjadi perdana menteri.

Lahirkan tokoh baharu

Saya sudah beberapa kali memberikan saranan kepada blok pembangkang supaya memperkasakan program-program mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia. Saya akui mereka sudah ada program-program yang seperti ini, namun saya tidak merasakan program sedia ada mencukupi.

Blok kerajaan juga semakin serius dalam mencari tokoh-tokoh belia yang baharu dengan menganjurkan program-program bersifat “belia dan politik”. Paling menarik Transformasi Nasional, yang saya percaya akan menjadi modal utama ketika PRU14 nanti, turut memfokuskan golongan belia.

Saya berpandangan blok pembangkang memerlukan tokoh muda yang baharu, punya karisma dan memberi harapan kepada generasi yang akan datang. Kita tidak perlukan the next Tun Mahathir, Anwar Ibrahim atau mana-mana tokoh politik, kita cuma perlukan the next leader.

Pemimpin yang datang dengan pendekatan yang baharu dan mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara. Pencarian tokoh ini perlu mempunyai satu “talent base” yang besar bagi kedua-dua blok, terutamanya pasukan pembangkang jika mereka benar-benar ingin mentadbir Malaysia.

Adalah menjadi “kerja” parti-parti politik yang ada untuk menggilap bakat-bakat muda untuk generasi yang seterusnya. Proses menggilap bakat menuntut parti-parti ini memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin muda, bukan menjadikan mereka “benteng” atau “pengikut” semata-mata.

Pada usia mudalah mereka harus diberi tugasan dan cabaran. Saya tidak ada masalah jika blok pembangkang ini mencalonkan tokoh muda yang telah terbukti ketokohannya untuk dijadikan perdana menteri.

Gaduh siapa perdana menteri

Saya fikir masih terlalu awal untuk blok pembangkang bergaduh tentang isu siapa yang akan menjadi perdana menteri jika mereka menang. Mereka boleh memberikan beberapa orang nama kepada penyokong blok ini jika diminta, namun jangan putuskan dahulu siapa.

Fokus utama mereka seharusnya tertumpu pada strategi yang akan digunakan untuk memenangi PRU14. Mereka harus mencari ramuan dan idea-idea untuk memikat undi rakyat. Jika mereka memaparkan sikap yang sama seperti pemimpin-pemimpin daripada blok kerajaan, maka pastinya mereka tidak akan diberi peluang.

Lagipun, apa guna berbeza menggunakan bendera parti yang lain, kalau outcome tetap sama? Saya yakin rakyat Malaysia tidaklah kemaruk sangat dengan isu siapa yang akan menjadi perdana menteri. Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah perdana menteri mampu untuk menyelesaikan isu-isu negara dan kos sara hidup yang semakin menekan.

Paling utama, rakyat mahukan perdana menteri dan tokoh politik yang mentadbir negara bebas daripada isu-isu yang berkaitan skandal dan rasuah.

Jika terlalu bimbang dengan isu perdana menteri ini, mungkin sudah masanya rakyat mencadangkan agar satu undang-undang yang menghadkan tempoh seseorang perdana menteri memegang jawatan. Cadangan saya, hadkan kepada atau atau tiga penggal pilihan raya.

Langkah ini akan membantu proses “giliran” dalam jawatan perdana menteri. Amerika Syarikat telah memperkenalkan undang-undang seperti ini sejak tahun 1951. Tempoh yang terhad akan memastikan rakyat sentiasa mendapat tokoh baharu dan mengelakkan pemusatan kuasa.

Semoga khabar angin tentang pelantikan Tun Mahathir tidak benar, lagipun beliau sudah agak berusia, biarkanlah beliau berehat. Jika masih ingin terlibat dengan politik, terlibatlah. Namun sayan tidak fikir jawatan sesibuk perdana menteri sesuai untuk beliau.

Secara jujur, saya semakin tidak kisah dengan siapa pun yang akan memenangi PRU14 kelak, lebih-lebih lagi melihat setiap parti politik mempunyai isu dan kepentingan yang tersendiri.

Saya cuma berharap agar setiap politikus di negara ini menyedari hakikat rakyat semakin tertekan dan perlunya pemerintah bekerja keras untuk memastikan keselesaan rakyat.

Semoga juga rakyat bijak memilih wakil-wakil mereka pada PRU akan datang, yang khianat perlu dihukum dan yang amanah perlu diberikan peluang.

– Malay Mail

.