‘JIKA HARAPAN MENANG AYER HITAM, BOLEH AMBIL PUTRAJAYA’

Kubu kuat BN kerusi parlimen Ayer Hitam menjadi kayu ukur bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk merebut Putrajaya dan negeri Johor pada pilihan raya umum akan datang, kata pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang.

“Jika kita boleh menang di Ayer Hitam, maka kita juga boleh menang di Malaysia, bukan saja di Johor, tapi di Malaysia,” kata beliau ketika merasmikan pusat pilihan raya HARAPAN di Ayer Hitam.

“Itu sebab Ayer Hitam begitu penting, kalau kita boleh menang Ayer Hitam, bukan senang, sangat susah,” katanya.

“Tahun lalu, saya bercakap tentang (tambahan)10 peratus undi Melayu dan lima peratus undi bukan Melayu akan membolehkan kita menguasai 113 kerusi parlimen di Semenanjung.

“Tetapi dalam kes kerusi Ayer Hitam ini, kita perlukan paling kurang peningkatan sebanyak 15 peratus undi Melayu dan 10 peratus undi bukan Melayu,” katanya.

HARAPAN memperuntukkan kerusi Ayer Hitam kepada DAP yang bersetuju membenarkan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanding di bawah tiket DAP.

Baru-baru ini, tersebar spekulasi DAP mahukan calon pemimpin yang dikenali ramai bertanding di kerusi itu.

Ketika dihubungi, pemimpin pusat AMANAH Hu Pang Chaw berkata parti itu sedang berunding dengan HARAPAN bagi meletakkan calon mereka di Ayer Hitam.

HARAPAN akan membuat keputusan berhubung perkara ini, maklum beliau.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan yang hadir dalam majlis perasmian itu berkata partinya sedang menjalankan kajian di lapangan, khususnya di kawasan Melayu.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Timbalan Presiden DAP Gobind Singh Deo, Setiausaha BERSATU Johor Datuk Osman Sapian dan pemimpin PKR Johor Sher Ishak.

– M’kini

.