JIKA BUKAN MENGETUAI KERAJAAN SELANGOR, ADAKAH PAS AKAN TUNGGU MUKTAMAR JUGA UNTUK TENTUKAN HUBUNGAN DENGAN PKR?

Berikutan keputusan Bersatu untuk menyertai Pakatan Harapan di tengah-tengah parti itu turut mengadakan rundingan mencari titik pertemuan ke arah kerjasama dengan Pas, hubungan kedua-dua parti itu sekarang ini bolehlah dianggap sudah berakhir.
Presiden Pas, Hadi Awang berkata, berakhirnya hubungan dengan Bersatu itu berikutan pendirian Pas tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.
Secara rasminya bermakna tiada lagi kerjasama jika itulah keputusan Bersatu (menyertai Pakatan Harapan), tegas beliau.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula memberitahu, kedudukan parti itu berhubung kerjasama dengan Bersatu akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang akan diadakan sebelum Muktamar Pas yang dijadual pada April depan.
Bermakna, sebelum Muktamar Pas yang akan diadakan di Kedah pada 28 April nanti, segala-galanya mengenai hubungan parti itu dengan Bersatu akan diletakkan titik muktamadnya.
Bagaimanapun, lain pula ceritanya berkenaan hubungan Pas dengan PKR. Meskipun PKR sudah lama menyertai Pakatan Harapan yang bermakna parti itu lebih dulu ada hubungan dengan DAP dan Amanah berbanding Bersatu, tetapi Pas hanya akan menentukan hubungannya dengan PKR dalam muktamarnya nanti.
Itu pun, dalam muktamar itu nanti, belum tentu Pas akan memutuskan terus hubungannya  dengan PKR, boleh jadi juga hubungan akan diteruskan dengan alasan menghormati mandat rakyat yang dibuat  pilihanraya 2013 lalu.
Kenapa dengan Bersatu, Pas begitu cepat mahu meletakkan kata putus, manakala dengan PKR seperti cuba dilambat-lambatkan.

Kiranya PKR bukan mengetuai kerajaan negeri Selangor dan beberapa pemimpin Pas pula tidak memegang jawatan penting, daripada EXCO, pegawai agama di syarikat berkaitan kerajaan hinggalah kepada jawatan ketua kampung, adakah Pas akan menunggu sehingga muktamar juga untuk membuat penentuan tentang hubungannya dengan PKR?

Jangan marah ya…tanya saja?

– http://shahbudindotcom.blogspot.nl/

.