JIKA BENAR DS NAJIB TAK SOKONG LANGKAH PRESIDEN TRUMP, BATAL PELABURAN BARU MALAYSIA KE AMERIKA SYARIKAT

Semalam Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah menulis satu tweet berkenaan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump, untuk mengalih kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis yang akan diiktiraf sebagai ibu negara Israel.
Tweet beliau itu hanyalah retorik semata-mata sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2017, sekiranya ia tidak diikuti beberapa langkah diplomatik dan perdagangan sebagai tanda bantahan Malaysia terhadap cadangan ini.
Sehingga hari ini, kita belum lagi mendengar Wisma Putra memanggil Duta AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan tentang cadangan Presiden Trump yang cukup menggugat politik rantau Timur Tengah malah juga dunia Islam.
Sehingga ke hari ini juga, kita belum melihat sebarang langkah dari pentadbiran DS Najib Razak untuk membantah sekeras-kerasnya cadangan Presiden Trump ini.
Adakah ianya kerana DS Najib takut untuk mengguris hati kawan baik beliau itu? Apakah nasib umat Islam di Palestin, serta juga yang beragama Kristian, lebih penting dari hubungan baik DS Najib dengan “rakan golf” beliau? Apakah nasib negara Palestin lebih penting dari membantu “mengukuhkan ekonomi AS”?
Maka saya mencabar DS Najib, jika beliau benar-benar membantah cadangan Presiden Trump ini, DS Najib perlu segera membatalkan semua perjanjian pelaburan yang beliau buat di White House pada 12 September lalu, termasuk pembelian kapal terbang Boeing berjumlah RM 42 bilion, dan membatalkan niat Khazanah dan KWSP untuk meningkatkan pelaburan di AS.
Rakyat sedang melihat apakah DS Najib benar-benar membantah Presiden Trump atau hanya bermain retorik sempena PAU 2017.
Fahmi Fadzil

Pengarah Komunikasi KEADILAN

– MAILBAG

.