JHO LOW SIBUK BERLAYAR, MENGINAP HOTEL MEWAH DI SHANGHAI

AKHBAR The Australian melaporkan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low berlayar dengan kapal mewah dan menginap di sebuah hotel mewah di Shanghai.

Menurut laporan itu, kapal layar Low yang bernama “The Equanimity” telah melintasi  laut di luar pantai Papua Barat.

Ia turut menyebut “The Equanimity” juga merentasi laut Asia Tenggara dalam lawatannya ke Kemboja, Thailand, Bali dan beberapa kepulauan kecil Indonesia sepanjang enam bulan yang lalu.

Menurut laporan itu lagi, Low dilarang kembali ke Malaysia walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Najib Razak.

“Walaupun Low mungkin ditangkap dan didakwa dalam tempoh beberapa minggu atau bulan berikutan siasatan antarabangsa ke atasnya, beliau dikatakan membahagikan masanya antara kapal layar Equanimity yang mewah dan Hotel Peninsula di Shanghai yang juga mewah, yang menghadap Sungai Huangpu,” laporan itu dipetik.

Laporan yang memetik dokumen mahkamah AS menyebut, ketika “bergurau-senda” di atas Equanimity pada 2014, Low telah menghadiahkan satu set barang kemas kepada supermodel Australia, Miranda Kerr.

Menurut laporan itu lagi, Australia bukanlah asing bagi keluarga Jho Low kerana bapanya, Larry Low Hock Peng terkenal dengan penglibatannya dalam bidang korporat tempatan pada awal 1990-an yang memberi kesan kepada jutawan media Kery Stokes.

“Dari 1992, Larry Low adalah pengarah di sebuah syarikat tersenarai di Australia iaitu Ledge Group. Sebuah syarikat yang berkongsi alamat dengan syarikat Low di Pulau Pinang, iaitu Corum International, juga memegang hampir 27% saham Ledge. Pada 1994, Ledge telah ditukar nama kepada MediaTech,” laporan itu dipetik.

Low Sr (Larry Low) juga pengarah bagi dua syarikat perlombongan yang disenaraikan, Accent Resources dan Dynasty Resources pada pertengahan 2000.

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS melancarkan satu siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB. Jabatan itu juga berusaha menangguhkan saman sivil yang difailkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini untuk menyita lebih $1 bilion (RM4.3 bilion dalam bentuk hartanah dan aset lain.

Di dalam kes sivil tersebut, DoJ mendakwa antara 2005 dan 2015, lebih dari AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tinggi dana negara itu dan sekutu mereka.

Pada Jun, DoJ memfailkan satu lagi saman lain untuk menyita AS$540 juta dalam bentuk aset, termasuk kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta yang dimiliki Jho Low. Ia turut termasuk hak ke atas filem komedi Dumb and Dumber To yang diterbitkan Red Granite yang dipunyai anak tiri Najib, Riza Aziz.

Siasatan AS ini merupakan sebahagian daripada usaha global untuk mengesan berapa banyak dari AS$6 bilion yang dikutip 1MDB untuk projek-projek pembangunan itu diseleweng atau terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

– https://www.themalaysianinsight.com

.