‘JHO LOW MAHU BERLINDUNG DI CAYMAN ISLANDS, BVI’

Satu cache surat menyurat yang bocor mendedahkan Low Taek Jho bimbang dakwaan terhadapnya berkaitan isu 1MDB akan menyebabkan hartawan itu dihantar pulang ke Malaysia.

Dalam e-mel bertarikh 10 Ogos 2015, peguam Demelza Hassani yang berpangkalan di United Kingdom dikatakan menghubungi firma guaman Appleby di Cayman Islands bagi mendapatkan maklumat berkaitan undang-undang ekstradisi di kepulauan itu dan British Virgin Islands (BVI).

“Encik Low sedang berdepan dakwaan salah laku kewangan di Malaysia.

“Berdasarkan bentuk tuduhan di Malaysia, Encik Low bimbang berkaitan pendedahannya di peringkat antarabangsa dan mahu mendapatkan nasihat pakar berkaitan undang-undang antarabangsa (termasuk permohonan bantuan undang-undang bersama dan/atau arahan sekatan global),” kata Hassani melalui e-mel.

E-mel itu dihantar hanya sebulan selepas The Wall Street Journal (WSJ) membuat pendedahan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Low dalam isu 1MDB.

Akhbar kewangan berpengaruh dunia itu melaporkan dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB untuk kempen pilihan raya BN pada 2013 dan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Sebahagian daripada dana itu dilapor disalurkan melalui akaun yang dikawal oleh Low yang lebih dikenali sbagai Jho Low.

Low secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan cuba menggambarkan dakwaan-dakwaan itu sebagai bermotifkan politik.

Katanya, penglibatannya terhad kepada penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2008 yang kemudian berubah menjadi 1MDB.

Najib juga menafikan sebarang salah laku. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga membersihkannya namanya daripada sebarang salah laku pada tahun lalu.

Sementara itu, dalam e-mel bertarikh 11 Ogos 2015, Hassani memberikan senarai soalan khusus kepada peguam-peguam Appleby.

“Kami mohon nasihat jika pihak berkuasa Malaysia mahu pihak berkuasa Cayman/BVI memulakan prosiding ekstradisi.

“Khususnya, kami mohon nasihat berkaitan kedudukan jika waran tangkap kepada anak guam kami dikeluarkan atau notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) dikeluarkan ketika tinggal di situ.

“Kami ingin teliti sama ada Cayman/BVI boleh dikira tempat selamat untuk mengembara di masa depan atau sama ada kamu nasihatkan anak guam kami untuk tidak memasuki bidang kuasanya.

“Lebih berguna bagi kami untuk memahami secara umum berkaitan kemahuan Cayman/BVI menjalankan ekstradisi, terutamanya berkaitan dakwaan kewangan yang bermotifkan politik,” katanya.

Hassani juga bertanya sama ada Cayman Islands dan BVI mempunyai perjanjian dua pihak atau pelbagai pihak dan jika ya, apakah syarat-syaratnya.

Jika tiada perjanjian sebegitu, beliau juga bertanya sama ada bawah bidang kuasa kedua-dua negara itu, pernah menghantar pulang seseorang secara tidak rasmi atau spontan.

Kertas Paradise 

E-mel bocor itu adalah sebahagian daripada 13.4 juta rekod yang diperoleh oleh akhbar Jerman Süddeutsche Zeitung yang dikongsi dengan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan jaringan 380 wartawan daripada 67 negara, termasuk Malaysiakini.

Dirujuk sebagai “Kertas Paradise”, rekod-rekod itu diperoleh daripada syarikat perkhidmatan pesisir pantai Appleby dan Asiaciti, serta 19 pendaftar korporat termasuk di Labuan.

Rekod-rekod paling banyak datang daripada Appleby yang mempunyai pelanggan daripada lebih 650 individu dan organisasi yang beralamat di Malaysia.

Pelanggan-pelanggan Malaysia bagaimanapun hanya berada di kedudukan 25. Sebagai perbandingan, pelanggan dari Amerika Syarikat berjumlah lebih 31,000, di United Kingdom (UK) lebih 14,000 dan Bermula pula lebih 12,000.

Süddeutsche Zeitung, ICIJ dan rakan-rakan medianya sebelum ini menyiarkan pendedahan sama “Kertas Panama” tahun lalu, berdasarkan dokumen bocor daripada syarikat berpangkalan di Panama, Mossack Fonseca.

Berdasarkan Kertas Paradise, satu jabatan di Appleby diberikan lampu hijau untuk untuk berurusan dengan Low. Bagaimanapun, tidak jelas nasihat yang diberikan kepada Low, jika ada.

Malaysiakini telah menghubungi Hassani dan Appleby bagi mendapatkan ulasan mereka pada 19 Oktober lalu dan belum menerima maklum balasnya.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober, Appleby mengeluarkan kenyataan berkaitan kemungkinan penggunaan bahan yang diperoleh secara haram oleh media. Firma guaman itu berkata ia mungkin mendedahkan pihak yang tidak bersalah terhadap perlanggaran perlindungan maklumat.

Ia juga berkata tiada sebarang bukti salah laku sama ada oleh pihak mereka atau anak guamnya.

Peruntukan ekstradisi

Cayman Islands dan BVI adalah Wilayah Luar Negara British. Urusan luarnya diuruskan oleh Pejabat Komanwel dan Negara Asing di London bagi pihaknya.

Malaysia dan UK tidak mempunyai perjanjian ekstradisi bersama. Bagaimanapun terdapat perjanjian bantuan undang-undang bersama 2010, tetapi tidak terangkum dalam wilayah seperti Cayman Islands atau BVI.

Daripada segi perjanjian pelbagai pihak, Konvensyen Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menentang jenayah terancang rentas negara (UNTOC) adalah terpakai terhadap Malaysia, Cayman Islands, dan BVI. Ia mengandungi peruntukan ekstadisi.

Konvensyen antirasuah PBB (UNCAC) yang mempunyai peruntukan membantu urusan ekstradisi, mempunyai bidang kuasa itu, kecuali di Cayman Islands.

Pada 23 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahad Zahid Hamidi menafikan laporan bahawa Malaysia masih cuba mendapatkan bantuan Interpol bagi menjejak Low.

Beliau berkata tiada kes untuk mendakwa Lo dan kes itu ditutup. Interpol enggan mengulas isu itu.

Selain itu, aset-aset yang didakwa dikawal oleh Low kini sedang menjadi sasaran saman pelucuthakan oleh Inisiatif Pemerolehan Semula Aset-aset Kleptokrasi sejak tahun lepas.

Ini termasuklah jet peribadi, kapar layar dan beberapa harta tanah. Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa aset-aset itu dibeli menggunakan dana AS$4.5 bilion yang didakwa disalah guna daripada 1MDB dan disalurkan melalui sistem kewangan negaranya.

Low mengancam mengambil tindakan undang-undang dengan mendakwa tindakan itu tidak wajar dan cacat.

– https://www.malaysiakini.com

.