JENAZAH ADENAN SELAMAT DIKEBUMIKAN

KUCHING: Jenazah Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petra Jaya, kira-kira pukul 2.40 petang Khamis.

Jenazah tiba di tanah perkuburan dari Masjid Jamek Negeri pada pukul 2.05 petang diringi isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima anaknya.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan sejurus surah al-fatihah dan doa dibacakan.

Terdahulu pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengusung keranda ke dalam van jenazah pada 1.25 tengah hari untuk dibawa ke tanah perkuburan itu, kira-kira dua kilometer dari masjid tersebut.
Orang ramai kelihatan berada di sepanjang laluan untuk terus memberi penghormatan kepada Allahyarham.

Adenan, 72, yang hampir tiga tahun menjadi ketua menteri, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan dekat sini pada 1.24 tengah hari Rabu.

Terdahulu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan jemaah menunaikan solat jenazah selepas solat Zuhur di masjid tersebut.

– Mstar

.