JELASKAN PENYINGKIRAN ARUL, PUA GESA MOF

Kementerian Kewangan perlu berterus terang mengenai penyingkiran mengejut Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dari jawatan utama dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd, kata DAP.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, penyingkiran Arul Kanda dari kedua-dua entiti tersebut adalah ‘perkara yang besar’.

Beliau yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mempersoalkan penyingkiran itu dengan berkata, Arul Kanda adalah penting dalam perjanjian yang dimeterai antara Bandar Malaysia dan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dengan konsortium China Railway Engineering Corp (CREC).

Ujar Pua, kini timbulnya persoalan mengenai konflik kepentingan yang didakwa Arul Kanda dalam perkara itu.

“Apakah konflik kepentingan yang terlibat? Dia telah dibuang dari kedua-dua syarikat hanya dua hari selepas kegagalan perjanjian Bandar Malaysia-IWH-CERC.

“Ia tidak boleh menjadi suatu kebetulan,” kata Pua pada sidang akhbar selepas berucap pada forum ‘Skandal 1MDB: Apa seterusnya’ di Pulau Pinang, malam tadi.
Ketika dihubungi hari ini, Pua berkata, beliau mahu Arul Kanda mendedahkan sebab sebenar di sebalik penyingkirannya.

“Jika beliau tidak menjelaskan mengenai penyingkiran, atau apa-apa percanggahan kepentingan yang terlibat, ia akan menimbulkan syak,” kata Pua.

– M’kini

.