Jelajah Muhyiddin-PKR bermula perlahan

PKR dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan siri Jelajah ‘1Malaysia Dalam Bahaya’ malam tadi di Sabak Bernam, kawasan majoriti Melayu di bahagian utara Selangor.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin Berkata siri jelajah itu diadakan untuk menyedarkan penduduk luar bandar dan separa bandar, terutamanya orang Melayu mengenai skandal 1MDB.

Bagaimanapun, sambutan orang ramai pada majlis di Mini Stadium Sabak Bernam itu agak dingin apabila hanya kira-kira 400 hadirin memenuhi padang yang kosong.

Mereka duduk di atas rumput berhampiran pentas, dengan dua skrin besar ditayangkan.

Orang ramai bagaimanapun tetap bersemangat menyaksikan penceramah, termasuk  ADUN DAP Sekinchan Ng Suee Lim, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dan naib presiden PKR Tian Chua.

Bintang malam itu adalah Muhyiddin sendiri yang berucap mengenai dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung 1MDB.

Kebanyakan isi ceramah yang disampaikan Muhyiddin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali bukan perkara baru dan telah dilaporkan oleh media alternatif.

Bagaimanapun berita seumpama itu terbatas tidak dapat menjangkau kawasan luar bandar, di mana media arus perdana masih menjadi sumber berita utama. –  M’kini

.