JELAJAH 1MDB AKAN DIAKHIRI PERHIMPUNAN GERGASI PADA 14 OKTOBER

Jelajah mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) akan diakhiri dengan perhimpunan besar, umum pemimpin DAP Tony Pua.

Pua berkata perhimpunan gergasi itu akan diadakan pada 14 Oktober tetapi lokasinya akan diumumkan kemudian.

“Jelajah ini bermula di Penaga, Pulau Pinang dan hari ini pelancaran rasmi oleh PH dan kemudian kita akan teruskan himpunan paling besar pada 14 Oktober,” katanya.

Ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” itu memberi penerangan mengenai penyelewengan 1MDB yang disampaikan pimpinan PH antaranya Dr Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.
Ia merupakan ceramah pertama selepas PH mengumumkan barisan Majlis Presiden pada 13 Julai. Barisan yang ditunggu-tunggu itu menyaksikan gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai pengerusi dan ketua umum, manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Serentak dengan pengumuman perhimpunan mega itu, semua pemimpin PH yang menyampaikan ucapan turun dari pentas dan memegang sepanduk ceramah sebagai gimik pelancaran.

Shah Alam menjadi lokasi kedua jelajah PH dalam misi menerangkan skandal 1MDB kepada rakyat Malaysia terutama Melayu Islam yang merupakan pengundi majoriti pada pilihan raya umum akan datang.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.