JAWI AMBIL KETERANGAN ADUAN QAZAF PADA HUSNI

Dua anggota parlimen daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini memberikan kenyataan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam siasatan qazaf terhadap bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang membuat tuduhan liwat terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Hanipa Maidin (Sepang) dan Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terengganu) itu diambil secara berasingan oleh JAWI.

“Sekarang di JAWI sedang diambil keterangan oleh IO (pegawai penyiasat) bagi kes tuduhan qazaf ke atas YB Tambun (Husni).

“IO sedang tonton video rakaman ucapan YB Tambun tersebut.

“Saya diambil keterangan oleh IO wanita manakala YB Kuala Terengganu diambil keterangan oleh seorang pegawai JAWI lelaki di bilik lain,” kata Hanipa.

Anggota-anggota parlimen HARAPAN pada 7 November lalu membuat laporan terhadap Husni setelah mendakwa Anwar pernah meliwat anak buahnya, yang menyebabkan beliau meninggalkan perjuangan bekas timbalan perdana menteri itu.

Aduan itu diterima bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Menulis di Facebook, Hanipa berkata, berdasarkan standard operasi piawai (SOP), keterangan Husni pula akan diambil selepas ini.

– M’kini

.