‘JAWAPAN MEMALUKAN, BAIK TAK PAYAH ADA SPRM’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dilihat hilang fungsi selepas enggan menyiasat skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Tony berkata demikian merujuk jawapan parlimen yang diberikan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low bahawa SPRM tidak menyiasat skandal 1MDB kerana pihak berkuasa lain sudah menjalankan siasatan.

“Jawapan SPRM tak boleh siasat 1MDB memalukan, baik tak payah ada SPRM. Kalau SPRM tak ambil tanggungjawab tangani rasuah, rakyat Malaysia akan terima masalah dari rasuah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di parlimen hari ini.

Semalam Low melalui berkata SPRM tidak akan mengadakan siasatan ke atas skandal 1MDB kerana pihak berkuasa lain sudah menjalankan siasatan.

Jawapan itu sebagai maklum balas kepada soalan yang dibangkitkan Pua terhadap keputusan SPRM untuk tidak menyiasat penyelewengan dana 1MDB seperti diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad Jun lalu.

SPRM tidak menyiasat 1MDB secara langsung namun mengadakan siasatan terhadap “sumbangan” RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut perkara itu Pua berkata beliau bingung kerana sebelum ini Dzulkifli pernah memberi amaran untuk menyiasat semua ahli politik tanpa rasa takut namun kini enggan menyiasat Najib berkaitan 1MDB.

“Dzulkifli dah bagi amaran pada ahli politik nak siasat tanpa rasa takut, tapi bila kita tunggu-tunggu, 1MDB yang libatkan PM dia tak nak siasat, kita telah tunggu dengan lama,” katanya.

Najib sebelum ini menafikan kaitannya dengan sebarang penyelewengan dalam 1MDB.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut membersihkan beliau daripada sebarang salah laku berhubung tuduhan berkenaan.

Pua berkata, SPRM seharusnya menyiasat mengikut prosedur yang telah ditetapkan supaya rasuah dapat ditangani secara telus.

“Apa lagi SPRM nak tunggu, dah banyak laporan polis dibuat antaranya yang dibuat oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan NGO-NGO lain.

“Sudah jadi tanggungjawab SPRM siasat laporan awam, kena ikut proses, sama ada unsur rasuah atau tidak dan wajib siasat. Kita nak tanya adakah proses ini telah dilakukan,” soalnya.

– M’kini

.