JASA JAWAB DAKWAAN WAN AZIZAH

SHAH ALAM – Sarawak Report dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebenarnya tidak pasti wang daripada sumber manakah yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun pendakwa raya, Tan Sri Shafee Abdullah sehingga kenyataan kedua-duanya bercanggah.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Sarawak Report (SR) mendakwa RM9.5 juta yang dibayar kepada Shafee Abdullah dari akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak dan wang ini datangnya dari 1MDB, sementara Azizah mendakwa wang dari SRC.

Katanya, Sarawak Report mendakwa kononnya pembayaran kepada Shafee dari akaun Datuk Seri Najib ini dibuat dua kali, iaitu pada tarikh 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.
“Pertama, Sarawak Report dan Wan Azizah perlu memutuskan terlebih dahulu, sebenarnya wang RM9.5 juta ini adalah wang 1MDB atau wang SRC.
“Kedua-dua mereka nampaknya tidak pasti wang ini datang dari sumber mana dan disebabkan itu mereka membuat kenyataan yang bercanggah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak Report perlu membuktikan wang tersebut dari 1MDB kerana portal web itu dan Wall Street Journal pernah melaporkan Najib memulangkan sebahagian besar wang RM2.6 bilion yang mereka dakwa adalah dari 1MDB.

“Jika wang tersebut dari SRC, bukankah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli telah membuktikan bahawa RM40 juta yang kononnya dari SRC ini tidak pernah sama sekali masuk ke dalam akaun Najib, sebaliknya diberikan dalam bentuk cek kepada Mail Global Resources?,” katanya.

Kedua, katanya, benarkah akaun Najib masih wujud  ketika Shafee dikatakan menerima RM9.5 juta kerana kedua-duanya pernah melaporkan akaun tersebut telah ditutup pada 30 Ogos 2013 selepas Najib dilaporkan memulangkan sebahagian besar wang RM2.6 bilion yang mereka dakwa dari 1MDB.

“Persoalannya, bagaimanakah satu akaun yang telah ditutup berkenaan boleh membuat pembayaran kepada Shafee pada September 2013 dan Februari 2014?

“Hakikatnya Sarawak Report dan Pakatan telah membuat terlalu banyak pembohongan sehinggakan mereka lupa apa yang pernah mereka bohongkan sebelum ini,” katanya.

– SH

.