JANGAN TAKUT PADA TRUMP – MURSYIDUL AM PAS

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata tidak ada yang perlu dibimbangkan oleh umat Islam apabila Donald Trump memenangi pilihan raya presiden AS.

Berucap di himpunan Ledakan Suara Rakyat (LASAK) di Petaling Jaya hari ini Hashim berkata ketakutan dan kebimbangan terhadap kejayaan Trump itu hanya akan menunjukkan kejahilan dalam agama.

Kata bekas pemimpin veteran PAS itu, umat Islam mempunyai kekuatan tersendiri yang jauh lebih hebat berbanding AS.

“Sekarang orang bising pasal Trump menang di AS.

“Orang Islam pucat habis (selepas) dia menang, macam-macam ulasan dibuat tapi kita lupa kita ada kekuatan yang beratus kali (lebih hebat) berbanding AS,” katanya.

Munculnya perasaan bimbang itu katanya adalah disebabkan umat Islam meminggirkan al-Quran.

Kata Hashim kegusaran itu akan terpadam jika umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan dan menghadapi kemungkinan penindasan oleh pemimpin penuh kontroversi itu.

“Kita lebih takut kuasa manusia daripada tuhan – ini bahaya.

“Kita mesti ikut al-Quran. Apabila kita pinggirkan Islam, kita tak peduli apa tuhan kata, jadilah macam sekarang kacau (huru-hara),” katanya.

Trump yang sebelum ini dikenali sebagai hartawan harta tanah serta personaliti televisyen mengejutkan ramai apabila memenangi pilihan raya umum presiden AS pada 9 November lalu.

Muncul dengan pendekatan keras dan kontroversi, Trump – dari parti Republikan – mengetepikan calon lebih popular, Hillary Clinton dari Demokrat.

Hillary adalah bekas wanita pertama AS antara Januari 1993 hingga 2001.

Kata Hashim semua pemimpin parti politik harus mengambil tanggungjawab mengembalikan keyakinan rakyat ekoran kemenangan Trump.

“Orang Umno, BN sebahagian besar adalah Islam. (Penyokong) PKR, BERSATU, AMANAH malahan dalam DAP pun ada Islam.

“Mari kita bersatu atas dasar Islam. Kita ajak semua parti bersatu.

“Sesiapa nak, boleh – siapa tak nak, kita tak boleh paksa. Kita bersatu atas dasar kebenaran,” katanya.

MKINI

.