JANGAN SENTUH KELUARGA SAYA, KATA AZMIN

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengecam serangan politik yang menyasarkan beliau dan keluarganya.

Menyifatkan serangan tersebut sebagai fitnah dan politik samseng, Azmin mencabar pihak berkenaan supaya berdepan dengannya secara ‘gentlemen’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Dahlah dia tidak boleh lawan kita dengan fakta, sekarang ini lawan kita dengan fitnah pula.

“Saya masuk dalam perjuangan ini bukan nak main politik kotor seperti ini, tak setuju dengan saya, lawan saya, bahas saya.

“Jangan ambil anak saudara, jangan sentuh keluarga saya, jangan buat fitnah dan maki hamun. Mari lawan secara gentlemen dalam PRU yang akan datang,” katanya kepada orang ramai┬ádalam acara Jelajah Peduli Rakyat di Kampung Melayu Subang hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menahan anak saudara timbalan presiden PKR itu berhubung isu perlombongan pasir di Selangor.

Bagaimananapun SPRM menafikan tindakan itu bermotifkan politik.

Semalam, Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengancam akan menyebarkan video yang didakwa melibatkan ahli parlimen Gombak itu.

“Adakah saya perompak dan pencuri, bagi rakyat nilailah dan tentukan.

“Jangan pejabat-pejabat kerajaan diperkakaskan untuk menghina dan mengaib saya,” kata Azmin.

Sementara itu Azmin mengalu-alukan cabaran Jamal untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa tetapi mempertikaikan kredibiliti pemimpin Umno bahagian itu.

“Kalau rakyat nak MB yang pakai tuala, pilihlah dia.

“Kalau rakyat nak pemimpin yang kaki fitnah, pilihlah dia. Tapi kalau nak seorang pemimpin yang peduli rakyat, kerajaan yang berjiwa rakyat, maka pertahankan kerajaan negeri Selangor yang ada pada hari ini,” katanya.

– M’kini

.