Jangan ‘pinjam kerusi’ kepada Umno

MCA mengalami kekalahan teruk dalam PRU lalu apabila hanya mampu meraih tujuh parlimen dan 11 Dun, rekod paling buruk pernah dicatat parti yang mewakili masyarakat Cina itu.

Kini, ketika MCA semakin hilang sokongan daripada pengundi Cina, ada perkembangan terbaharu pula tercetus apabila kerusi milik parti ini ingin dipinjamkan rakan komponennya, iaitu Umno.

Terbaharu ialah cadangan daripada Pengerusi BN Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed agar Dun Pengkalan Rinting milik MCA ‘dipinjam’ kepada Umno, memandangkan Umno mempunyai peluang cerah untuk menang berbanding MCA. Namun, cadangan Nur Jazlan itu dibantah oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Nanyang Siang Pau melalui analisisnya beranggapan, sekiranya MCA terus tunduk dengan semua permintaan daripada Umno, masyarakat Cina sudah pastinya akan menolak calon-calon MCA pada PRU akan datang.  Pada PRU lalu, MCA telah meminjam tiga kerusi parlimen kepada Umno iaitu Wang Maju, Gelang Patah dan Kuantan. Malangnya, semua calon Umno di tiga kerusi parlimen itu kalah kepada pembangkang. Sehingga hari ini, masih belum dipastikan apakah Umno akan kembalikan ketiga-tiga kerusi parlimen ini kepada MCA atau tidak.

Demi mengukuhkan kedudukan MCA, akhbar ini mencadangkan Umno perlu kembalikan semula kerusi-kerusi parlimen dan Dun yang pernah ‘pinjam’ daripada MCA, manakala MCA juga diminta jangan layan lagi melayan kehendak Umno.

Akhbar ini menulis lagi, PRU14 adalah pilihan raya yang bakal menentukan mati atau hidup MCA dalam politik tanah air. Sekiranya pucuk pimpinan MCA tidak tegas dengan pendirian dan bersikap dengan lebih agresif serta berani, adalah diramalkan parti ini bakal terkubur selepas itu.

“MCA kini tinggal tujuh kerusi parlimen sahaja. Sebagai rakan komponen BN, ia dianggap sebagai sebuah parti yang lemah. Namun, BN yang sentiasa menekankan semangat setia kawan, Umno sepatutnya tidak boleh ambil kesempatan akan kelemahan MCA ini.

“Umno perlu ingat, MCA pernah membantu Umno ketika parti itu dalam keadaan lemah. Salah satu contohnya ialah ketika PRU 1999,” kata akhbar ini.

 

Pengundi Cina kembali sokong BN

Lebih kurang 30-40 peratus pengundi Cina berkedudukan ‘atas pagar’ dijangka kembali memberi sokongan kepada BN pada PRU akan datang.

Demikian ramalan dibuat Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong ketika ditemu bual akhbar-akhbar Cina tempatan, baru-baru ini.

Beliau berkata, apa yang beliau dapati, sejak akhir-akhir ini, kebanyakan pengundi Cina mulai menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi wakil rakyat daripada pembangkang.

“Saya jangka PRU14 akan diadakan dalam tempoh sembilan bulan akan datang. Sekiranya 30 hingga 40 peratus pengundi Cina ‘atas pagar’ kembali memberi mengundi BN, ia sudah pasti mencetuskan ‘tsunami’ politik baharu.

“Hari ini kita dapati ramai pengundi bukan sahaja mengkritik wakil rakyat BN, tetapi juga tidak puas hati terhadap wakil rakyat pembangkang. Keadaan seperti ini tidak pernah wujud pada PRU 2008 dulu,” katanya.

Malaysia jadi pilihan pelancong China

Malaysia mengatasi Singapura sebagai destinasi pelancongan pilihan oleh pelancong China sepanjang empat hari cuti umum di China awal minggu lalu.

Selain Singapura, Malaysia juga mengatasi tiga negara lain iaitu Maldives, Singapura dan Australia dalam senarai 10 buah negara utama yang digemari oleh pelancong China.

Menurut sebuah portal dari Hong Kong, New Era, daripada 10 negara pilihan utama, tiga negara Asia menjadi pilihan pelancong China awal minggu lalu iaitu Thailand, Jepun dan Korea. Manakala Malaysia berada di kedudukan ketujuh, mengatasi Singapura yang berada di kedudukan sembilan.

Mengikut susunan, Thailand menjadi pilihan pertama, ini diikuti Jepun, Korea masing-masing berada di kedudukan dua dan tiga. Kedudukan keempat pula ialah Hong Kong, Amerika Syarikat (5), Taiwan (6), Malaysia (7), Maldives (8), Singapura (9) dan Australia (10).

– http://www.sinarharian.com.my/

.