‘JANGAN PERTIKAI PERATURAN PELAJAR WAJIB SOLAT JEMAAH’

Umno Pahang mempertahankan peraturan baru yang diumumkan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Mohd Razali Mustafar pada Rabu lalu.

Peraturan itu mewajibkan semua sekolah di daerah itu wajib mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

“Peraturan tersebut juga tidak harus dilihat sebagai satu perkara yang membuatkan pelajar beragama lain merasa tersisih kerana saya percaya pelajar beragama lain sedia maklum dengan ajaran agama Islam yang mengutamakan kerohanian dalam setiap aspek kehidupan,” kata Ketua Pemuda Umno Pahang Shahar Abdullah dalam suatu kenyataan hari ini.

“Perkara tersebut juga tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang akan melemahkan perpaduan sebaliknya ia akan menanamkan sifat tolak ansur dan memahami antara pelajar beragama Islam dengan pelajar beragama lain,” katanya.

Shahar (gambar, bawah) berkata pemuda Umno Pahang juga mengecam mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut untuk kepentingan masing-masing.

“(Pemuda Umno) tidak melihat sebab untuk mana-mana pihak melarang atau mempertikaikan peraturan yang baik dan dituntut agama itu dilaksanakan asalkan tidak memberi kesan kepada pelajar lain,” kata Shahar.

Menurut Shahar lagi, peraturan itu melatih pelajar beragama Islam untuk mempunyai pegangan agama yang utuh sekali gus menguatkan jati diri pelajar dalam menempuh cabaran di masa depan.

Sementara itu, kenyataan pemuda Umno Pahang ini dikongsi Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Shukor yang berkata peraturan itu tidak bertentangan dengan undang-undang.

Salkukhairi dalam sebuah kenyataan media hari ini memetik Seksyen 50 Akta Pendidikan 1966.

“(Akta) memperuntukkan supaya semua sekolah, termasuk sekolah swasta, wajib mengadakan kemudahan bagi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, apabila terdapat lima orang murid Islam atau lebih di sesebuah sekolah,” kata Salkukhairi.

Hanya untuk pelajar Muslim sahaja

Menurutnya, solat berjamaah adalah asas yang paling utama dalam Pendidikan Islam yang perlu diterapkan kepada setiap pelajar Muslim di sekolah, sambil menjelaskan ia tidak berkait dengan hak bukan Islam.

“Mata pelajaran agama Islam hanya diambil oleh pelajar Muslim sahaja,” katanya.

Agensi berita tempatan pada Rabu, 29 November lalu melaporkan Pegawai Pendidikan Daerah Mohd Razali Mustafar mengumumkan peraturan baru itu.

Razali dipetik Bernama sebagai berkata sembahyang dapat mencegah daripada melakukan perkara negatif dalam mendepani dunia yang kian mencabar.

“Untuk itu setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkan,” katanya.

– M’kini

.