JANGAN MUSNAHKAN HARAPAN

PILIHAN raya akan berlangsung tidak lama lagi. Barisan Nasional (BN) semakin tidak popular. Tetapi mereka nampak selesa kerana PAS tidak lagi bersama parti-parti pembangkang lain.

BN tahu dalam situasi tiga penjuru PAS bukanlah cabaran bagi mereka. PAS tidak bertanding di semua kerusi. Di Sabah dan Sarawak, PAS ada seperti tidak ada. Jika PAS sahaja bertanding dua penjuru pun, BN yakin PAS bukanlah cabaran mereka. Kecualilah di Kelantan, Terengganu atau Kedah.

Tetapi BN tahu paling kurang sejuta ahli PAS yang taat tidak akan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH). PH ialah gabungan parti-parti pembangkang yang akan melawan BN di semua kerusi. Dengan PAS tidak bersama pembangkang, BN mungkin boleh mendapat kembali majoriti dua pertiga. Sejuta ahli PAS boleh menggugat beberapa kerusi yang dimenangi oleh pemimpin PH sebelum ini.

Tetapi politik boleh jadi seni segala kemungkinan. Jika ikut bilangan ahli parti mustahil parti-parti pembangkang termasuk PAS akan menang sampai bila-bila. Tapi mereka dapat nafikan majoriti dua pertiga pada tahun 2008. Mereka juga mendapat undi lebih 51 peratus semasa pilihan raya 2013.

Semuanya atas kehendak pengundi. Jika pengundi hendak berubah maka berubahlah. Bila BN semakin tidak popular, bererti pengundi mahu berubah. Mereka tidak mahu BN. Soalnya, adakah mereka akan undi PAS atau PH?

Sebab itu Konvensyen PH yang pertama begitu penting bagi kami sebagai pengundi. Kami mahu melihat sama ada mereka mampu menjadi alternatif kepada BN dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.Kami tidak mengharapkan kesempurnaan. Tetapi kita juga tidak mengharapkan kelemahan nyata.

Model kerajaan PH sudah ada. Rata-rata orang yang saya temui nampak gembira dengan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Tetapi ada juga rakan-rakan di kalangan peniaga berkata budaya minta duit di kedua-dua negeri ini semakin menjadi-jadi. Jika tidak percaya, silalah berbual dengan ahli-ahli Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM). Jika ini benar, maka perjuangan PH untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban belum berjaya sepenuhnya.

Jangan sampai nanti dikata sama sahaja pemimpin PH dan BN.

Satu ciri utama yang mesti ditonjolkan ialah kesatuan. Tanpa kesatuan ini PH tidak akan mampu meyakinkan sesiapa pun.

Bagaimanakah kesatuan boleh timbul? Jawapannya ialah kepimpinan dan agenda bersama.

Baru-baru ini timbul isu calon PM PH. Bila banyak pertikaian secara terbuka, maka isu ini tidak produktif.

Tapi kita boleh menerima Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir sebagai pemimpin hebat dan berpengaruh di dalam dan di luar negara. Anwar telah membuktikan dia mampu membawa parti-parti pembangkang ke satu pencapaian yang cukup baik. Tetapi dia juga gagal mengawalnya kemudian.

Begitu juga Dr Mahathir kelihatan dapat menjadikan PH lebih tersusun. Masih awal untuk kita melihat hasilnya. Tetapi kini seolah-olah timbul persoalan bila Dr Mahathir mahu dicalonkan sebagai PM. Sebelum ini PH mahukan Anwar sebagai calon PM. Pelbagai persoalan timbul khususnya daripada PKR.

Anwar memang layak. Tetapi PKR perlu menerima hakikat bahawa Anwar masih di penjara dan undang-undang tidak membenarkan beliau memegang jawatan politik meskipun akan bebas tidak lama lagi.

Dr Wan Azizah tidak begitu menyerlah, tetapi boleh diberi peluang. Masalahnya, Wan Azizah sendiri tidak dipersetujui oleh sebahagian pemimpin PKR. Lihat sahaja semasa krisis menteri besar Selangor bila Azmin tidak menyokong beliau melalui akuan bersumpah.

Azmin pula nampak tidak begitu mesra PH. Beliau menjadi menteri besar tanpa bukti sokongan majoriti. Apabila Wan Azizah menubuhkan PH, Azmin dan kumpulan penyokongnya nampak tidak bersetuju. Beliau sendiri membuat pengumuman Selangor bukan negeri PH.

Waktu itu beliau dan kumpulannya aktif memburukkan DAP dan Amanah. Azmin dan kumpulannya juga yang mempromosi agar PH menerima Dr Mahathir. Beliau juga yang mahu meneruskan kerjasama dengan PAS walaupun PH sudah membuat keputusan menghentikannya.

Ada pemimpin Bersatu memberitahu yang Azmin mahu menjadi timbalan presiden PH. Beliau merajuk bila tidak dipersetujui. Beliau juga mahu menjadi calon PM atau TPM. Bila tidak dipertimbangkan, kumpulan penyokongnya kini mula memburukkan Dr Mahathir kerana mahu mencalonkan Azmin.

Azmin berkelayakan. Tetapi jika benar apa yang diceritakan seperti di atas, maka beliau kena memulihkan hubungannya dengan semua parti dalam PH. Jika Dr Mahathir benar-benar menjadi PM, lima atau sepuluh tahun lagi Azmin tidak akan dianggap terlalu tua.

Tawaran yang disampaikan oleh pemuda PH pula bercampur-campur. Ada yang baik. Ada yang biasa. Ada yang tidak usah dimasukkan ke dalam manifesto.

Idea seperti tontonan percuma bola sepak Inggeris lemah. Lebih baik dicadangkan perbelanjaan untuk pembangunan bola sepak negara. Idea bayaran balik PTPTN mengelirukan. Mahu bayar balik atau mahu beri pendidikan percuma?

Yang lain ada yang bagus. Paling penting diceritakan bagaimana mahu membiayai segala macam janji ini bila GST mahu dihapuskan? Adakah cukai pendapatan akan dinaikkan? Ini tidak jelas. Tawaran pemuda PH hanya antara memuaskan dan baik. Belum cukup menarik.

Pagi tadi juga tidak banyak perbezaan. Pengundi tahu masalah BN. Pengundi mahu tahu apa perbezaan ketara PH.

Tapi berapa ramai pengundi akan membaca semua ini? Bolehkah PH menang dalam pilihan raya nanti?

Semuanya bergantung sama ada rasa tidak puas hati pengundi lebih besar daripada janji-janji yang dibuat.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.