JANGAN MUDAH SANGAT PETIK HADIS KETIKA TERSEPIT

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini mendapat reaksi ramai.

Menurutnya, isu harga barang naik bukan masalah baru malah telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Membaca terjemahan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik, Hamzah menjelaskan ada sahabat meminta Rasulullah menetapkan harga barangan untuk mereka.

Isu kos sara hidup yang tinggi juga menjadi perhatian ramai apabila Datuk Sheila Majid menyentuhnya menerusi Twitter pada 5 Disember lalu.

Kata penyanyi itu rakyat mengeluh tentang keadaan semasa ekonomi dan bosan kerana ‘diperah’ akibat hutang yang bukan berpunca daripada mereka.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan Sheila sebagai meroyan sambil menegaskan bahawa kadar pengangguran di Eropah lebih teruk berbanding Malaysia.

Terdahulu pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor menempelak pelakon Fathia Latiff supaya tidak menjadi alat pembangkang.

Reaksi negatif dan menghina oleh pemimpin dan pegawai kanan Umno/BN bukan mengejutkan. Sebab itu, dakwaan mereka bahawa pembangkang mengamalkan politik kebencian merupakan serangan ke atas diri mereka sendiri.

Setiap kali pandangan keluar daripada orang Umno atau B,N maka itulah politik kebencian, keangkuhan dan kesombongan.

Islam larang monopoli

Meskipun Hamzah mendakwa kenyataannya berhubung harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia diputar belit sesetengah media, namun hakikatnya kekeliruan telah timbul dan rakyat menolak pandangan “taichi” beliau.

Menariknya, polemik ‘unik’ tentang kenaikan harga barang sudah timbul pada September 2013 lagi apabila Exco Pemuda Umno Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menulis satu rencana di Utusan Malaysia dengan memetik hadis sama yang dibaca Hamzah.

Malah dalam rencana berkenaan, Fathul Bari juga mengulas antara faedah yang boleh diperolehi daripada hadis tersebut ialah kita wajib meyakini bahawa naik turun harga sesuatu barang itu berlaku atas ketetapan Allah.

Tidak mustahil inilah sumber yang menjadi sandaran menteri berkenaan.

Dalam konteks ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, telah mengulas balas dengan panjang lebar.

Menurut Mohd Asri, jika kenaikan harga barang bukan disebabkan perancangan buruk manusia – sebaliknya secara semula jadi dan penetapan harga barang akan menzalimi para peniaga – maka hadis itu dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semula jadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan mesti menjaga keadilan kedua-dua pihak.

Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang.

Hadis tutup aib

Inilah yang disebutkan sarjana seperti Ibn al-‘Arabi: “Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli)”.

“Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi SAW) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan,” tegas Mohd Asri.

Menurut beliau lagi, hadis itu sahih cuma konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada kenyataan oleh menteri terbabit?

Pertama, memetik hadis untuk mengukuhkan hujah dan tindakan perlu berlandaskan ilmu pengetahuan dan huraian yang menyeluruh, bukan semata-mata berasaskan kefahaman literal atau bahasa.

Kedua, menggunakan hadis untuk menutup keaiban atau kelemahan apatah lagi kezaliman dalam pengurusan ekonomi negara dan rakyat merupakan satu tindakan yang mencemar kesucian hadis dan Islam.

Ketiga, menteri dan parti pemerintah di bawah rejim Datuk Seri Najib Razak wajib mendengar rintihan hati rakyat dan memberi penyelesaian tanpa perlu mengugut atau mengancam. Kegagalan berterusan menangani rintihan dengan bijaksana akan membawa kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Dalam konteks ini, saya amat bersetuju dengan pandangan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil, bahawa hadis tersebut menjelaskan prinsip besar Islam ialah keadilan.

Rasulullah menyebut tentang membersihkan diri daripada kezaliman.

Faiz menegaskan bahawa pengurusan ekonomi negara, termasuk kenaikan harga barang, harga runcit minyak dan hutang negara ialah tanggungjawab parti pemerintah.

“Tadbir urus kerajaan yang salah dan korup serta penuh pembaziran dan ketirisan menyebabkan kantung negara menjadi kering dan akhirnya kerajaan terpaksa mengenakan cukai regresif seperti GST yang telah menyebabkan kenaikan melambung harga barang.

“Skandal korupsi institusi seperti 1MDB menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur asing, mendorong kejatuhan nilai ringgit yang mengakibatkan harga barang import menjadi mahal. Bukankah ini kezaliman kepada rakyat akibat kepincangan tadbir urus kerajaan BN?” soal Faiz.

Guna nama Tuhan demi ketamakan

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan untuk bersandar kepada dua sumber utama iaitu al-Quran dan hadis. Walaupun kita disuruh percaya kepada ketentuan dan takdir Allah, namun kita juga diperintah untuk berusaha dan berikhtiar.

Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa, lalu dia jawab: “Allah menaikkan harga barang”.

Apakah anda akan berkata: “Masya-Allah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman”.

Ataupun: “Awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!”

Apa yang jelasnya, negara sedang berhadapan dengan skandal berbilion ringgit, rasuah dan penyelewengan. Pengawalan harga barang dan kos sara hidup ialah amanah yang diberi rakyat kepada pemimpin.

Memang benar semua perkara berlaku dengan izin Allah namun apa yang Dia izinkan, bukan semestinya Dia reda.

Demikian juga apa yang Dia reda bukan semestinya Dia izinkan. Dia tidak reda kezaliman Firaun, tetapi Dia mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang dicipta-Nya.

– M’kini

.