JANGAN MIMPI JHO LOW AKAN DIDAKWA….

Berikutan perkembangan yang berlaku di Singapura minggu lalu, pelbagai pihak kini mula bersuara mendesak agar Peguam Negara dan polis membuka semula siasatan berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterima Najib Razak.
Jika sebelum ini berlaku penutupan dua bank, BSI dan Falcon serta tiga orang yang didapati bersalah atas pelbagai kesalahan yang mendorong aktiviti penggubahan wang haram berkaitan dana 1MDB dirasakan belum cukup memadai untuk membawa perancang utamanya, Jho Low ke muka pengadilan serta kebenaran diketahui, pengakuan bersalah oleh Jens Sturzenegger, bekas Pengurus Falcon Private Bank di mahkamah nyata amat mengejutkan.
Beliau mengesahkan bahawa Jho Low adalah orang yang sama dengan Eric Tan, pemilik benefisiari Tanore Finance yang sebelum ini diketahui menyalurkan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak.
Sturzenegger bukan saja mendapat pengakuan yang Jho Low sesekali menggunakan nama Eric Tan bagi tujuan keselamatan, bahkan mendakwa melihat sendiri passportnya ketika ahli perniagaan yang rapat dengan keluarga Najib itu berurusan mahu membuka akaun banknya.
Dengan pengesahan Sturzenegger itu, terbuktilah bahawa tiada Pak Arab sebagai penderma kepada Najib sebagaimana yang diheboh-hebohkan sebelum ini.
Seluruh dunia kini tahu bahawa Jho Low @ Eric Tan adalah penderma yang sebenar-benarnya. Jika dikaitkan dengan kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS yang mengatakan wang AS$731 yang masuk ke akaun peribadi Malaysian Official 1 adalah berpunca daripada 1MDB dan fakta itu tidak disanggah oleh sesiapa sehingga ini, tidaklah sukar bagi sesiapa untuk lebih memahami kemelut yang bersimpul-simpul itu.
Dengan sendirinya juga, wakil penderma yang kononnya telah ditemui oleh SPRM dan Zahid Hamidi, tidak wujud sama sekali.
Dengan yang demikian, sejak minggu lalu ramai yang mendesak agar Peguam Negara dan PDRM membuka semula kertas siasatan berkaitan wang derma tersebut.
Tidak kurang juga yang meminta supaya Jho Low @ Eric Tan segera ditangkap kerana bukti-bukti baru yang ada di mahkamah Singapura itu, ikut logiknya, sudah memadai untuk tujuan kita turut bertindak sama.
Laporan polis, desakan dan kenyataan media mengenainya  sudah dilakukan oleh banyak pihak sehingga ini.
Tetapi, bolehkah kita berharap serta meyakini kertas siasatan akan dibuka semula dan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Jho Low @ Eric Tan?
Sebenarnya, janganlah sesiapa berharap demikian kerana ia boleh dikata hampir mustahil akan berlaku, lebih-lebih lagi selagi Najib menjadi Perdana Menteri.
Apa yang paling munasabah ialah perkembangan, bukti dan pengesahan di mahkamah Singapura itu seharusnya menambahkan lagi azam dan tekad rakyat Malaysia untuk menumbangkan UMNO, BN serta menyingkirkan Najib daripada persada kuasa.
Hanya itu satu-satunya cara untuk melihat kebenaran 1MDB, derma RM2,600 juta serta kelicikan Jho Low @ Eric Tan “bermain silap mata”  terbuka di depan mata kita semua.
PRU 14 antara lainnya adalah pertembungan untuk terus menutup kes tersebut dengan keinginan untuk membukanya semula bagi kepentingan serta masa depan negara.
Dengan beralihnya kuasa, segala-galanya “boleh belaka”.

Pilihan paling penting sebenarnya ada di tangan kita.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.