JANGAN MASUK PERANGKAP UMNO, BN!

SHAH ALAM – “Suara anak-anak muda ini sepatutnya dihargai bukan disekat,” demikian Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa dihalang untuk bersyarah di universiti selain diharamkan untuk memasuki mana-mana universiti awam untuk mengajar atau pun menerima jemputan para pelajar.

Ia susulan surat terbuka yang ditulisnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan di bawah pentadbiran Najib.

Menurut Syed Saddiq lagi, beliau lebih rela berdialog dengan mereka yang tidak sependapat dan ideologi yang berlainan bagi meraikan idea-idea anak muda ini kerana bagi dirinya ini adalah platform yang terbaik bagi memberanikan anak-anak muda melontarkan suara bukan sahaja bagi mengkritik kerajaan tetapi juga pembangkang.
“Jangan jatuh dengan perangkap kerajaan Umno dan BN yang ingin mencipta budaya takut kepada pelajar-pelajar tajaan kerajaan.

“Ini semua hanyalah budaya lapuk yang hanya untuk menakut-nakutkan pelajar bagi mendiamkan mereka. Saya telah jumpa beribu-ribu pelajar di luar negara yang telah mengkritik kerajaan secara terbuka akan tetapi mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan.

“Sebelum ini, saya sudah pergi road tour di United Kingdom (UK). Saya telah berjumpa dengan ratusan pelajar di London, Edinburgh, Manchester, tidak ada masalah langsung, biasiswa mereka pun tidak ditarik. Jika ditarik, you can challenge them in the court of law,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata, dalam kerajaan Pakatan Harapan, budaya ugut mengugut anak muda seperti ini sudah semestinya tidak akan berlaku.

Jelasnya, perikatan pembangkang itu akan memberi ruang dan peluang serta mengangkat suara anak-anak muda.

“Jika kita lihat di Unisel yang dibawah kerajaan Selangor, pelajar yang mengkritik pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali tidak diambil tindakan disiplin. Semua ini menunjukkan bahawa Pakatan Harapan meraikan perbezaan pendapat dan tidak membisukan mulut mahasiswa kerana kepentingan politik,” katanya.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu taklimat memberi amaran kepada penerima biasiswa jabatan itu bahawa mereka mungkin kehilangan tajaan jika mengkritik kerajaan.

Akhbar itu melaporkan, ia adalah antara enam amaran yang digariskan JPA kepada kira-kira 1,000 pelajar yang mendapat 9A + atau lebih dalam peperiksaan SPM dan menerima biasisiswa jabatan itu.

– SH

.