JANGAN LUPA, NAJIB JUGA BAKAL BERGELAR BEKAS PM SELEPAS INI

Sebagai bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir berhak menikmati beberapa keistimewaan selepas beliau bersara.

Antaranya ialah sebuah rumah, pejabat dan kawalan keselamatan. Dari segi kawalan keselamatan, sebagaimana yang dinikmati oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, ia merangkumi pengawal peribadi, beberapa orang anggota Unit Tindakan Khas atau UTK dan pengiring bermotosikal.

Tetapi, khidmat polis pengiring bermotosikal dan pasukan UTK untuk Tun Mahathir sudah pun ditarik balik ketika ini.

Pengiring bermotosikal  ditarik lama sebelum ini, manakala pasukan UTK ditarik balik beberapa hari yang lalu.

Sementara Tun Abdullah yang menjadi Perdana Menteri selama enam tahun masih menikmati keistimewaan penuh, Tun Mahathir yang berkhidmat cemerlang selama 22 tahun hanya diberikan keistimewaan pada tahap paling minima iaitu seorang pengawal peribadi dan dua anggota polis biasa (bukan UTK) pada ketika ini.

Sebelum ini khidmat tukang masak yang sudah sekian lama berkhidmat dengan beliau turut ditarik balik.

Penarikan balik semua keistimewaan itu tidak lain ialah untuk tujuan melemahkan semangat Tun Mahathir dalam perjuangannya untuk menyelamatkan Malaysia, di sebalik beliau semakin hari semakin diberi sambutan hangat oleh rakyat di pelbagai pelusuk negara.

Apa pun yang dilakukan oleh Tun Mahathir selepas persaraannya, beliau seharusnya dihormati sebagai bekas Perdana Menteri dengan terus mengekalkan semua keistimewaan yang berhak diterimanya.

Menarik balik semua keistimewaannya hanya kerana berbeza pendapat dalam politik tidak sesekali memberi kelebihan kepada Najib dalam usaha beliau mengekalkan kuasanya.

Selain rasa simpati rakyat akan melimpah kepada Tun Mahathir, tindakan demikian malah lebih mencemarkan nama Najib di mana beliau dilihat tidak cukup matang dan sedikit kebudak-budakan dalam berpolitik.

Tun Mahathir ketika berkuasanya pernah ditentang oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn, tetapi beliau tidak mengusik sama-sekali keistimewaan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu.

Tun Abdullah Badawi ketika ditentang oleh Tun Mahathir turut tidak berbuat apa-apa mengenai keistimewaan pendahulu yang kemudian bertukar menjadi musuhnya.

Hanya Najib yang seperti kebudak-budakan dan tidak cukup matang dengan bertindak menarik satu demi satu keistimewaan  lawan politiknya yang merupakan bekas pemimpin yang pernah berjasa kepada negara.

Jika Najib kekal matang, beliau seharusnya tidak mengusik apa-apa keistimewaan Tun Mahathir, terutama yang berkaitan keselamatan kerana dengannya beliau dapat mempamerkan kewibawaan dan kematangannya kepada rakyat.

Tetapi, bagaimana rakyat mahu terus mengekalkannya, selain berselirat skandal mengelilinginya, bahkan beliau juga dilihat gagal mengawal diri dan tidak menunjukkan kematangan dalam berpolitik?

Najib sepatutnya melawan dengan hujah dan fakta sebagaimana Tun Mahathir juga banyak menyerangnya berdasarkan hujah dan fakta.

Yang lebih penting, Najib juga mesti sedar beliau kini paling berpotensi untuk bergelar sebagai bekas Perdana Menteri selepas PRU 14 akan datang.

Bagaimanakah Perdana Menteri baru daripada Pakatan Harapan nanti mahu memberi keistimewaan penuh kepadanya jika beliau sudah menunjukkan teladan yang buduk kepada seorang bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa?

Siapa yang rugi akhirnya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.