JANGAN LUPA JUGA PELUK DAN UCAP TERIMA KASIH KERANA DERMA RM2,600 JUTA

Hari ini Perdana Menteri, Najib Razak dijadual berlepas ke Riyadh, Arab Saudi untuk menyertai pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam dalam satu sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sidang tersebut dijadual diadakan pada hari Ahad di ibu negara Arab Saudi itu.
Kata Najib, di Riyadh nanti, beliau akan memeluk  Raja Salman sekali lagi sebagai tanda terima kasih kerana menambah kouta haji untuk Malaysia.
Kata beliau, penambahan kouta haji itu adalah satu lagi jasa UMNO kepada rakyat negara ini.
“Siapa wujudkan Tabung Haji? (kita beri) subsidi… itu tak masuk lagi program haji 1MDB yang percuma untuk ketua kampung dan imam.

“Kita tahu inilah cara kita bela rakyat. Esok (hari ini) saya pergi Riyadh, jumpa Raja Salman sekali lagi saya nak peluk dia sebab bagi kuota khas untuk Malaysia.

“Ramai orang berkat naik haji kerana perjuangan Umno,” kata Najib dalam ucapannya dalam program Umno bantu rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang malam tadi.

Kouta haji Malaysia tahun ini ditambah daripada 27,900 kepada 30,200. Pertambahan itu dicapai dalam perbincangan ketika lawatan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini.

Dalam kunjungan Raja Salman ke Malaysia itu, Najib sempat memeluk dan berselfie dengan Raja Salman sebagai tanda keakraban hubungan antara mereka.

Para pembela Najib kemudian berkata, kedatangan Raja Salman itu turut membuktikan wang RM2,600 juta yang diterima Najib adalah benar-benar derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

Jika tidak, mana mungkin Raja Salman sudi datang ke Malaysia, kata mereka berhujah walaupun ketika itu Raja Salman sebenarnya turut melawat beberapa negara lain dalam lawatannya ke Asia.


Namun, isu berkaitan wang yang dikatakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi itu tidak kedengaran dibangkitkan dalam pertemuan Najib dengan Raja Salman ketika itu.

Oleh itu, dengan sekali lagi Najib bertemu Raja Salman, cukupkah beliau sekadar mahu Najib memeluk Raja Arab Saudi semata-mata kerana penambahan kouta haji saja?

Bagaimana dengan wang RM2,600 yang diterima Najib sebelum ini yang didakwanya derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tidak mahukah beliau memeluk dan mengucapkan terima kasih secara khusus kepada Raja Salman atas wang yang diterimanya itu?

Sebagai tanda terima kasih, Najib dalam kunjungan ke Riyadh ini setidak-tidaknya harus memeluk Raja Salman sebanyak dua kali atau dalam sekali peluk beliau perlu mengucapkan terima kasih atas dua perkara iaitu kouta haji dan derma yang diterimanya.

Lebih menarik, jika Najib dapat memeluk dan mengucapkan  terima kasih kepada Raja Salman kerana derma yang diterimanya itu di depan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri yang mana Jabatan Kehakiman AS di bawah pentadbirannya masih dalam proses menyita harta-harta yang dikaitkan dengan penyonglapan dana 1MDB.

Sebagai pemimpin Melayu dan Islam yang menjunjung tinggi nilai dan erti budi, ketika berkunjung ke Arab Saudi inilah sebenarnya tempat paling sesuai untuk Najib mengucapkan terima kasih dan memeluk Raja Salman atas derma peribadi sebanyak RM2,600 juta yang pernah diterimanya itu.

Apatah lagi rasanya Najiblah satu-satunya individu paling bertuah di dunia ini yang pernah menerima derma sebanyak itu daripada mana-mana kerabat Diraja Arab Saudi sepanjang sejarah kewujudan negara tersebut.

Jika benar wang RM2,600 itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Najib tentu bangga untuk memberitahunya kepada Raja Salman sambil memeluknya dan Salman juga pasti turut berbangga untuk mengakuinya.

Oleh itu, Najib tidak harus menghampakan penyokongnya yang berbangga kerana derma tersebut dengan memeluk Raja Salman dan mengucapkan terima kasih, bukan saja kerana kouta haji tetapi juga untuk memberitahu dunia mengenai wang RM2,600 juta yang diterimanya itu benar-benar datangnya daripada kerabat Diraja Arab Saudi dengan disaksikan oleh Donald Trump dan  pemimpin-pemimpin negara Arab serta Islam yang lain.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.